Dadah: 6 lelaki termasuk 3 beranak ditahan
KULIM - Polis menahan enam lelaki termasuk tiga beranak dan merampas 60.4 gram dadah disyaki syabu bernilai lebih RM9,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Relau, Bandar Baharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, kesemua mereka berusia antara 20 dan 50 tahun itu ditahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada jam 10.30 malam.
“Kita percaya rumah tersebut juga dijadikan tempat membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar kawasan itu.
"Ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lima daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!