Perak kesan 50 ladang babi di tanah kerajaan
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, kesemua ladang tersebut tidak menyumbang sebarang pendapatan kepada kerajaan malah memberikan kesan kepada penduduk sekitar.
Katanya, sebagai langkah mengatasi masalah berkaitan ternakan babi tersebut, kerajaan negeri menyasarkan kesemua 109 ladang ternakan babi di Perak termasuk yang didirikan di atas tanah kerajaan ditukarkan kepada ladang babi moder (MPF) menjelang Disember 2021.
"Buat pertama kalinya kita menjalankan jeyarawara ini di Perak bagi menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dan persekutuan untuk menukar semua ladang babi terbuka kepada MPF.
"Beberapa penternak mendirikan ladang di tanah kerajaan seluas 500 ekar (200 hektar) dan kerajaan tak dapat hasil daripada tanah. Jadi dengan adanya ladang moden ini, kerajaan dapat semula tanah dan masalah-masalah lain seperti pencemaran bau dan sebagainya dapat di atasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Roadshow Ke Arah Pelaksaan Sistem Modern Pig Farming di sebuat hotel di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.
Sivanesan berkata, di peringkat persekutuan kerajaan telah menetapkan semua ladang ternakan babi perlu beralih kepada MPF sebelum penguatkuasaan dijalankan bermula 1 Januari 2022.
Katanya, bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai, pegawai-pegawai kerajaan turut terlibat dalam pelaksanaan MPF membabitkan kelulusan tanah, kajian teknikal dan sebagainya.
Beliau berkata, dari segi aspek teknikal, pihaknya mengharapkan agensi berkaitan dapat mengemukakan kelulusan dan kajian teknikal dalam tempoh sebulan daripada permohonan yang dibuat.
Katanya, pelaksanaan MPF tersebut dibuat ke atas penternak sedia ada dan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengeluarkan lesen baharu kepada penternak.
"Pelaksanaan MPF ini juga sekaligus dapat mengatasi masalah lalat, pencemaran bau dan mengurang risiko penyakit ke atas ternakan babi tersebut.
"Jika MPF ini berjaya dilaksanakan, konsep sama akan digunakapakai di dalam mengatasi masalah berkaitan ternakan ayam di negeri ini," katanya.
Menurut Sivanesan, kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Veterinar akan bekerjasama rapat dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!