Malaysia tidak pernah berhenti tuntut Pulau Batu Puteh

Pulau Batu Puteh
Pulau Batu Puteh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia terus dengan keputusan untuk kemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, selain Pulau Batu Puteh, kerajaan juga akan mengemukakan semakan penghakiman semula kes Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

“Berkenaan pertikaian Pulau Batu Puteh, Malaysia sangat komited untuk meneruskan permohonan itu.

"Jadi kita masih lagi komited, dan kita akan akan teruskan usaha,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta pengesahan daripada kerajaan sama ada kes-kes berkenaan telah digugurkan.

ICJ pada tahun lalu berkata ia dimaklumkan oleh Malaysia bahawa negara itu akan menarik balik permohonan semakannya, yang pada mulanya dijadual dibicarakan pada 11 Jun 2018.

ICJ pada Mei tahun lalu juga mengarahkan permohonan Malaysia untuk semakan dan penafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dikeluarkan dari senarai kes.

Melalui perintah itu, mahkamah memaklumkan kepada Malaysia dan Singapura bahawa ia turut merekodkan kedua-dua permohonan itu tidak akan diteruskan berikutan persetujuan kedua-dua belah pihak pada 23 Mei 2018.

Artikel Berkaitan:

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Dalam perkembangan membabitkan status kemajuan rundingan isu sempadan maritim Malaysia-Singapura, Marzuki berkata semasa sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin Kerajaan Malaysia-Singapura pada 9 April 2019 di Putrajaya, kedua-dua Perdana Menteri menyambut baik kerjasama dua hala dalam melaksanakan cadangan Kumpulan Kerja bagi menangani isu maritim yang melibatkan perluasan had pelabuhan Johor Bahru di Tanjung Piai dan had pelabuhan Singapura di Tuas.

"Singapura juga bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Malaysia mengenai persempadanan maritim kedua-dua negara yang masih belum dimuktamadkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!