Lans koperal, anak hilang dikhuatiri lemas
MUAR - Seorang lans koperal dan anaknya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas hanyut di Sungai Muar, Tanjung Emas berhampiran istana di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih yang hanyut selepas terjatuh ketika bermain berhampiran jeti istana.
“Sebelum itu, mangsa dan tiga anaknya berusia sembilan, tujuh dan empat tahun dikatakan pergi ke pekarangan istana untuk menghantar bungkusan makanan yang dipesan salah seorang pengawal di sini.
“Bagaimanapun, ketika menyerahkan bungkusan, tiga anak mangsa iaitu dua lelaki dan seorang perempuan bermain tepi sungai sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, keadaan air pasang dan arus deras menyebabkan kanak-kanak lelaki itu gagal diselamatkan dan hanyut.
“Melihatkan keadaan itu, bapanya yang juga anggota dari Bilik Gerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya.
“Malangnya, arus air yang begitu kuat turut menyebabkan mangsa hanyut dan hilang di sungai ini,” katanya.
Zaharudin berkata, gerakan mencari mangsa dan anaknya dilancarkan membabitkan beberapa pasukan penyelamat termasuk polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
Sehingga jam 12 malam tadi, operasi mencari belum menemui kedua-dua mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!