Perlis sedia kembali kegemilangan Singa Utara
KEHADIRAN kira-kira 15,000 penyokong Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra menyaksikan gelanggang keramat Singa Utara itu kembali bergema apabila menyaksikan pasukan kesayangan mereka menewaskan Kedah 3-1 pada aksi persahabatan, semalam.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohd Abd Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, penyokong begitu dahagakan kejayaan dan berharap pasukan baharu ini mampu membuahkan kejayaan pada musim 2019.
Menurutnya, tranformasi yang dijelmakan oleh presiden mereka, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dilihat berjaya memberikan harapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan tersebut untuk muncul antara pasukan yang digeruni dari utara.
"Fenomena gegaran ngauman pasukan dengan gelaran Singa Utara kini dijelmakan semula pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Tuanku Syed Putra bertemu pasukan jiran, Kedah yang juga antara pasukan kuat di Liga Super.
"Kami tidak menyangka stadium ini dibanjiri oleh peminat yang sekian lama menyepi dan merindui kebangkitan semula Singa Utara dan PFA berharap fenomena ini akan terus kekal sepanjang musim 2019," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Menurut Mohd Abd Karim Khan, pasukan Kuning Biru itu kini masih lagi dalam proses penyesuaian bersama ramai pemain-pemain baharu.
Jelasnya, pihaknya menuntut agar penyokong akan terus setia menyokong pasukan walau di mana sahaja Singa Utara beraksi baik di laman sendiri mahupun di tempat lawan.
Pada perlawanan tersebut, tiga gol tuan rumah berjaya dihasilkan menerusi Hafizi Amiruddin, Safee Sali dan Nazrin Syamsul Bahri manakala gol tunggal Lang Merah diperolehi menerusi Amirul Hisyam Awang Kechik.
Selain berjaya mendapatkan beberapa nama bintang seperti Safee, Perlis juga diperkuatkan dengan bekas bintang berpengalaman Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!