Scoot kini di Kota Bharu!

Pesawat A320 dari Singapura tiba di LTSIP tepat jam 4.05 petang hari ini.
Pesawat A320 dari Singapura tiba di LTSIP tepat jam 4.05 petang hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Buat julung kalinya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menerima penerbangan daripada luar negara melalui syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot's hari ini.

Penerbangan pesawat A320 selama sejam dari Lapangan Terbang Changi, Singapura itu membawa 130 penumpang dan selamat tiba di LTSIP pada jam 4.05 petang dan disambut pancuran air.

Timbalan Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Hassan Mahmood berkata, penerbangan tersebut adalah satu kenangan yang cukup bermakna buat negeri ini dan berharap ia menjadi permulaan kepada persediaan untuk menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa kelak.

"Kerajaan negeri juga teruja untuk menunggu penerbangan daripada negara lain terutamanya Vietnam dan Bangkok, tambahan lagi apabila LTSIP dibesarkan dan dinaik taraf," katanya pada sidang media selepas menyambut penerbangan itu di sini hari ini.

Hassan yang mewakili Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman turut menyambut pelancong yang tiba di LTSIP bersama Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Aidil Afizie Daud.

Hassan (kiri) menyambut ketibaan pelancong dari Singapura yang menggunakan penerbangan Scoot hari ini.
Hassan (kiri) menyambut ketibaan pelancong dari Singapura yang menggunakan penerbangan Scoot hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airport Berhad, Mohamed Sallahuddin Mat Sah, Ketua Penolong Setiausaha Pelancongan dan Kebudayaan, Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan dalam satu kenyataan berkata, penerbangan terus itu adalah destinasi ketujuh Scoot di Malaysia selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Penumpang dari Kota Bharu boleh menjimatkan masa lebih dua jam memandangkan tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk penerbangan transit.

"Kami memilih Kelantan sebagai destinasi kerana mempunyai keindahan alam semula jadi dan kampung nelayan serta pantai yang indah. Disamping itu ia melonjakkan lagi industri pelancongan tempatan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk orang ramai meneroka dunia," katanya.

Bagi meraikan pelancaran ini, bermula 9 hingga 11 Julai Scoot menyediakan tambang sehala istimewa dari Kota Bharu ke Singapura serendah RM59 termasuk cukai bagi kelas ekonomi bagi penerbangan sebelum 25 Oktober tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!