Ibu bimbang Saiful Aiman tak pulang
KUALA BESUT- Seorang ibu bimbang keselamatan anak lelakinya yang berusia 9 tahun yang hilang sejak keluar rumah pagi semalam.
Mangsa, Saiful Aiman Mohamad yang merupakan Murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2 dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Gertak Seratus, di sini kira-kira jam 9 pagi.
Siti Ruziana Sidek, 35, berkata, anak ketiganya dari empat beradik tinggal seorang diri di rumah pagi semalam sementara dia membawa anak bongsu berusia 3 tahun ke tempat kerjanya di sebuah kilang memproses ikan di Kampung Pachakan manakala abang mangsa, Saifuddin, 15, ke sekolah.
“Semasa saya pulang dari kerja jam 4.30 petang, saya dapati dia (Saiful Aiman) tidak ada di rumah dan sangka dia keluar bermain.
“Pada awalnya, jiran ada memberitahu ternampak Saiful Aiman keluar membeli nasi di hadapan rumah pada jam 9 pagi semalam.
“Saya mula bimbang apabila dia tetap tidak pulang walaupun jam 7 malam kerana sebelum ini, dia akan pulang sebelum Maghrib, ” katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh di rumahnya hari ini.
Ibu tunggal yang kematian suami tiga tahun lalu itu berkata, dia telah cuba mencari anaknya itu di sekitar kampung namun gagal.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut jam 11 malam semalam.
“Hari ini ada orang beritahu, anak saya dilihat menaiki sebuah teksi bersama seorang wanita warganegara Thailand yang menghala ke arah Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan, pada tengah hari semalam.
"Ada juga yang mendakwa ada melihat anak saya berada di sebuah kedai Cyber Café di Gertak Seratus jam 5 petang semalam sebelum menaiki sebuah kereta Perodua Kancil,” katanya.
Siti Ruziana berkata, tidak pernah Saiful Aiman tidak pulang ke rumah sebelum ini dan dia meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan anaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!