Kumpulan protes serbu Parlimen Hong Kong

 Mereka menyerbu masuk bangunan Parlimen dan turut menconteng grafiti antikerajaan.
Mereka menyerbu masuk bangunan Parlimen dan turut menconteng grafiti antikerajaan.
A
A
A

HONG KONG - Kekecohan tercetus selepas ribuan penunjuk perasaan prodemokrasi nekad menyerbu masuk dewan Parlimen ketika ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China semalam sebagai cara untuk menyuarakan kekecewaan dan kemarahan mereka.

Ketegangan kembali tercetus di bandar raya tersebut apabila kumpulan protes terbabit bertindak memecahkan tingkap bangunan Majlis Perundangan (LegCo) hingga memaksa polis menggunakan semburan lada dan baton untuk menyuraikan mereka.

Kumpulan protes itu tidak berganjak dan terus menceroboh masuk bangunan LegCo selain menyembur grafiti memaparkan mesej antikerajaan seperti ‘Hong Kong bukan China’ pada dinding premis tersebut.

Mereka juga mengibarkan bendera lama Hong Kong ketika era pemerintahan British di podium dan menconteng lambang bandar raya tersebut dengan penyembur cat berwarna hitam.

Kebanyakan penunjuk perasaan yang bertopeng dan memakai pakaian berwarna hitam itu menegaskan mereka terpaksa mengambil tindakan nekad itu kerana pemimpin bandar raya terbabit tidak mengendahkan sentimen awam.

“Kami telah berarak, melakukan protes duduk dan bantah, namun kerajaan masih tidak bertindak. Kami perlu tunjukkan kepada kerajaan bahawa kami tidak hanya akan berdiam diri,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Joey, 26.

Keadaan huru-hara selama beberapa jam itu bagaimanapun cuba diredakan polis selepas waktu tengah malam.

Mereka turut melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan baton untuk menyuraikan tunjuk perasaan di luar bangunan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketika sidang media, Ketua Eksekutif, Carrie Lam menyifatkan insiden protes ganas dan tindakan penunjuk perasaan melakukan vandalisme itu sebagai ‘menyedihkan dan mengejutkan’.

“Ia adalah satu perkara yang wajar dikecam dengan serius kerana tiada apa yang lebih penting daripada kedaulatan undang-undang di Hong Kong,” katanya di sisi Ketua Polis, Stephen Lo. Sementara itu, Lo mendakwa tindakan ganas penunjuk perasaan itu telah melampaui batas tuntutan protes secara aman.

Situasi dilaporkan kembali tenang pada awal pagi semalam selepas polis mengambil tindakan tegas terhadap ratusan penunjuk perasaan terbabit.

Hab kewangan itu bagaimanapun dicemari timbunan sampah sarap termasuk payung dan botol air kosong yang ditinggalkan peserta protes selain bangunan Parlimen mengalami kerosakan teruk.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan sokongan terhadap demonstrasi luar biasa yang dilancarkan kumpulan antikerajaan tersebut.

“Mereka mahu demokrasi di wilayah semi autonomi tersebut dan kebanyakan orang juga mahu perkara sama. Tetapi, terdapat segelintir kerajaan tidak mahu demokrasi,” katanya di Rumah Putih.

Jabatan Negara dalam satu kenyataan menggesa semua pihak bertelagah di Hong Kong supaya mengelakkan keganasan selepas bangunan Parlimen menjadi sasaran kumpulan protes.

China bagaimanapun mengutuk tindakan ‘pelampau’ yang menyerbu masuk bangunan Parlimen di Hong Kong dan menggelar ia sebagai ‘cabaran terang-terangan terhadap sistem satu negara dua sistem’ yang dilaksanakan di wilayah semi autonomi terbabit sejak 22 tahun lalu.

Protes sejak tiga minggu lalu itu berpunca daripada bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi yang dikhuatiri akan mengancam sistem perundangan Hong Kong berikutan ia kini ditadbir secara berasingan dengan China. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!