Pemegang NFP hantar cadangan projek demonstrasi 5G

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pemegang sah lesen penyedia perkhidmatan rangkaian (NFP) untuk menghantar kertas cadangan bagi projek demonstrasi 5G.

Pengerusi Kumpulan Kerja Ujian Percubaan 5G, Dr Ahmad Nasruddin 'Atiqullah Fakrullah berkata, pelawaan itu bertujuan mencari pemegang lesen yang berminat untuk membangun, menguji dan memupuk pelaksanaan kes-kes kegunaan 5G dalam memanfaatkan pertumbuhan ekosistem 5G di negara ini.

"Kertas cadangan pemohon haruslah mempunyai maklumat seperti ujian percubaan penggunaan rangkaian 5G, penyediaan peralatan dan penggunaan teknologi berkenaan untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan untuk menangani keperluan yang ditetapkan bagi kes penggunaan yang dikenal pasti.

“Industri atau bidang yang telah dikenal pasti bagi pelawaan kerjasama ini termasuk sektor agrikultur, pengangkutan, pendidikan, media/hiburan, penjagaan kesihatan, industri pemprosesan dan pengeluaran, bandar pintar serta penyelesaian untuk orang kelainan upaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemohon boleh mencadangkan lokasi pilihan mereka yang bersesuaian untuk melakukan demonstrasi projek tersebut.

Ahmad Nasruddin berkata, pemohon mesti memastikan yang cadangan mereka memenuhi kriteria seperti mempunyai rakan ekosistem yang menyeluruh seperti vendor teknologi, penyedia penyelesaian dan sasaran pengguna akhir.

Selain itu, pemohon juga perlu mempunyai sumber, kepakaran dan dana yang mencukupi bagi menyokong projek demonstrasi 5G ini dengan semua kos yang berkaitan dengan projek ini perlu ditanggung sepenuhnya pemohon.

“Pemohon juga perlu mencadangkan model perniagaan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan projek ini adalah mampan apabila digunakan secara meluas di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Akhir sekali, projek ini perlu diterajui dan diuruskan oleh individu yang mempunyai pengalaman, kredibiliti dan integriti yang relevan,” katanya.

Mereka yang berminat perlu menghantar kertas cadangan mereka kepada Sekretariat Ujian Percubaan 5G dengan mengisi borang menerusi pautanhttps://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/Appendices.pdf.

Borang kemudian perlu dihantar ke e-mel 5GtestbedWG@mcmc.gov.my disertakan dokumen relevan berkaitan pada 15 Julai ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!