Lelaki cedera di jari, motor terlanggar tali tangsi
SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di jari gara-gara terlanggar tali tangsi yang dipercayai dipasang pihak tidak bertanggungjawab di susur masuk ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Greenwood, pagi semalam.
Mangsa, Mohamad Syazwan Mohd Jelani, 28, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Sri Gombak menuju ke Kuala Lumpur.
"Saya rasa macam terlanggar sesuatu sebaik memasuki susur masuk ke DUKE. Saya bergerak paling hadapan berbanding penunggang motosikal lain sebelum terasa ada sesuatu terlekat pada bahagian muka, kemudian turun ke leher sampai motosikal hampir hilang kawalan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, dia terus memegang leher dan terpegang sesuatu seakan tali, namun ia tidak putus dan sempat menolaknya ke atas melepasi topi keledar.
"Jari saya rasa pedih masa tu. Kemudian baru saya sedar kulit jari kelingking terkoyak dan luka lepas berhenti.
"Saya tengok belakang, mujur beberapa penunggang lain tak langgar tali tersebut. Saya tak pasti sama ada ia putus atau telah ditarik, sebab masa tu memang saya nak cepat," katanya.
Mohamad Syazwan berkata, berdasarkan komen di media sosial selepas dia menulis status mengenai kejadian berkenaan, ramai yang mendakwa kejadian seperti itu memang banyak berlaku di lokasi tersebut.
"Ramai yang kata ada individu lain pernah cedera terlanggar tali tangsi melintangi jalan sama.
"Saya tak tuduh atau agak perkara yang bukan-bukan, bagi saya yang penting tak cedera dan tak ada penunggang lain terlibat," katanya.
Tambahnya, laporan polis akan dibuat selepas ini berkaitan kejadian yang dialaminya ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!