Pemilik kolam ikan lemas dalam parit
GUA MUSANG - Seorang lelaki ditemui maut di dalam parit berhampiran kolam ikan ternakannya di Kesedar Chalil di sini petang tadi.
Mangsa, Malek Rizwan Puzai, 36, ditemui rakannya apabila dimaklumkan ibunya bahawa mangsa masih belum pulang ke rumah.
Menurut ketua kampung, Mat Lazim Yaakob, mangsa ditemui pada jam 3.30 petang apabila rakannya mencari di sekitar kolam ikan.
"Arwah bekerja kampung dan turut mempunyai kolam ikan. Pada hari ini, dia beritahu ibunya dia mahu ke kolam dan tidak masuk ke ladang kelapa sawit.
"Apabila jam 3 petang masih belum pulang, ibunya meminta rakan untuk mencarinya di kolam ikan. Ketika ditemui dalam keadaan terlangkup," katanya.
Mat Lazim berkata, difahamkan, sejak kecil lagi arwah mempunyai masalah serangan sawan namun sebelum ini tidak memudaratkan.
"Arwah menjaga ibu bapanya tidak sihat dan adiknya yang juga OKU," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!