Keluarga Adib dah macam keluarga kami: Ibu Najihah
ALOR SETAR - Walaupun jodoh Nurul Najihah Mohd Radzi, 25 dan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang dirancang disatukan tidak kesampaian namun ikatan dua keluarga tersebut tetap kekal terjalin.
Ibu Nurul Najihah, Haliza Abu Bakar, 48, berkata, kedua-duanya sepatutnya disatukan pada petang semalam selepas Asar di Masjid Al-Bukhari Pantai Johor, namun dia sekeluarga reda di atas ketentuan Allah SWT.
Menurutnya, undangan perkahwinan sudahpun dimaklumkan kepada saudara mara yang terdekat sebelum kemalangan menimpa Allahyarham Muhammad Adib pada November lalu.
"Masa Adib sedar di Institut Jantung Negara (IJN), kami dah rasa lega dan syukur sangat. Masing-masing sudah merancang akan pulang pada 18 Disember (Selasa) lalu tapo tak sangka keadaan Adib kembali kritikal dan dia pergi sehari sebelumnya (Isnin).
"Kami semua reda dengan ketentuan ini walaupun mengakui sangat sedih. Arwah Adib seorang yang baik tetapi pemalu. Walaupun, perkahwinan tak jadi, kami tetap anggap keluarga Adib macam keluarga kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Damai, Mentaloon di sini, hari ini.
Haliza berkata, keadaan anak keduanya itu bertambah baik dan mampu menerima ujian itu berbanding empat hari lalu yang lebih banyak menyendiri.
“Deposit bayaran makanan sebanyak RM1,000 dibayar untuk majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung hari ini di rumah ini juga digunakan untuk majlis tahlil pada malam Khamis lalu di Surau Al-Ikhwan, Taman Damai.
"Selain majlis tahlil yang dibuat untuk arwah Adib, kami turut memohon imam dan ahli kariah memohon doa supaya Najihah dan keluarga dikurniakan kesejahteraan dan ketenangan menerima dugaan ini," katanya.
Menurutnya, Najihah turut memohon tambahan cuti tanpa gaji selama sebulan lagi dari majikannya di Shah Alam untuk berehat bersama keluarga di sini.
"Sejak arwah Adib dimasukkan ke IJN, Najihah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk bersama keluarga Adib menjaganya.
"Dia tambah lagi cuti tanpa gaji selama sebulan lagi kerana mahu berehat buat sementara waktu selepas lebih kurang 20 hari berada di IJN menjaga arwah Adib sehinggalah proses pengebumian selesai Selasa lalu," katanya.
Haliza berkata, anak dari sembilan adik beradik itu yang bekerja sebagai penyelia peruncitan masih perlu diberi masa dan ruang untuk berehat dan menenangkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!