Kerajaan, parti politik bertanggungjawab angkat martabat sastera, seni: Kit Siang
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sehubungan itu sokongan perlu terus diberikan terhadap penggiat sastera dan seni untuk memastikan ia terus hidup.
“Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Dengan kesedaran ini saya dan parti menyokong penuh keputusan kerajaan untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada para sasterawan negara baru-baru ini.
“Kami juga berharap kerajaan terus memberi sokongan dan dorongan buat seni dan sastera dalam pelbagai bentuk selepas ini . Seni tidak wajar diketepikan, ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia.
“Mana-mana bahasa tanpa sastera dan seni, akan menjadi bahasa yang layu dan akan mati kerana sastera dan seni menjadi sesuatu bahasa itu indah dan kaya,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Meraikan Penggiat Seni dan Sastera, di sini hari ini.
Baru-baru ini kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara bermula Jun.
Peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua Sasterawan Negara terbabit iaitu Datuk Seri Dr A Samad Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dijunjung dan tidak boleh dinafikan.
Katanya, keindahan bahasa Melayu sama seperti bahasa lain yang wujud di dunia ini, terbit dari karya-karya yang dihasilkan sejak zaman berzaman.
“Mungkin ada tertanya mengapa tiba-tiba seorang wakil rakyat seperti saya mahu meraikan Aidilfitri bersama dengan penggiat seni dan sastera. Apatah lagi kalau ikut dakyah seteru politik kami, sayalah bencana yg paling besar dalam negara buat orang Melayu.
“Kami menjunjung apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Pada masa yang sama kami juga menjunjung hak mana-mana orang untuk belajar bahasa-bahasa lain. Ini adalah asas negara kita, ini yang kami berpegang teguh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!