Sabah FA adakan EGM 16 Julai lantik AMT baharu
KOTA KINABALU - Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 16 Julai ini bagi membincangkan pelantikan presiden dan timbalan presiden baharu persatuan berkenaan.
Pemangku Presiden Sabah FA, Datuk Peter Anthony berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan pelantikan dua naib presiden dan sembilan orang ahli majlis tertinggi persatuan tersebut.
"Pelantikan baharu ini bertujuan untuk memperbaiki dan memperkasakan Sabah FA sekali gus membolehkan semua perancangan yang telah diatur untuk memajukan persatuan ini berjalan dengan lancar.
"Kami juga bersedia memberi bantuan kewangan kepada bahagian di bawah seliaan Sabah FA bagi membolehkan mereka menganjurkan program bola sepak di negeri ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat eksekutif Sabah FA di sini, hari ini.
Mengulas berkenaan kekosongan jawatan presiden persatuan itu, Peter mengesahkan akan bertanding dan pertandingan jawatan itu dibuat secara terbuka kepada sesiapa.
Katanya, apa yang penting jawatan berkenaan diisi oleh individu yang mampu mengurus dan mengangkat prestasi persatuan ke arah yang lebih baik.
Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah memangku jawatan itu susulan peletakan jawatan presiden Sabah FA sebelum ini Alijus Sipil pada November tahun lepas.
Pada musim ini, pasukan Sabah beraksi cemerlang pada Liga Perdana dan kini menerajui liga tersebut.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!