Kita makin gemar beli makanan

A
A
A

MINGGU pertama selepas hari raya baru-baru ini, saya bertemu dengan Saidin, peniaga nasi lemak. Secara kebetulan, dia baru sahaja menghantar 50 bungkus nasi lemak ke restoran di mana saya selalu bersarapan. Saya kaget bertemunya kerana pada fikiran saya, Saidin sudah tidak berniaga lagi.

Saya kenal Saidin kerana saya selalu membeli nasi lemaknya tatkala dia membuka gerai di tepi jalan dua tahun lalu. Sudah lama juga saya tidak nampak dia berniaga. Saya ingat dia sudah berpindah atau tukar perniagaan. Rupa-rupanya dia menjual nasi lemak bungkus pula dan nasi lemak air tangan dialah selalu saya jadikan hidangan sarapan selama ini. Patutlah rasanya seperti yang Saidin buat.

Sambil bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya, saya sempat bertanya, mengapa dia menutup gerainya. Jawab Saidin, menjual nasi lemak, mihun, kuih-muih dan pelbagai juadah itu agak remeh. Berniaga nasi lemak bungkus lagi mudah. Hanya satu barangan dan tak banyak kerenah. Pagi hantar nasi lemak, sebelah petang dia hanya kutip duit dan sebungkus dua nasi yang tak laku.

Saya sempat bertanya, berapa bungkus nasi lemak yang dia edar dalam sehari? Katanya, dia menghantar tidak kurang 700 bungkus nasi lemak ke 15 buah restoran berdekatan. Nasi lemaknya berharga RM1.50 di restoran. Barangkali dia jual ke restoran dengan harga RM1.20.

Kalau begitu, Saidin memperoleh pendapatan tidak kurang RM800 sehari. Bila didarab dengan 30 hari, pendapatan kasar Saidin ialah RM24,000! Setahu saya, Saidin tidak pernah mengiklankan jualan nasi lemaknya dalam Facebook atau membuat kempen di mana-mana kumpulan WhatsApp di kawasan perumahan tempat tinggal saya.

Maknanya, Saidin berniaga tanpa menggunakan pendekatan pemasaran melalui media sosial. Barangkali, pemasaran secara langsung ke restoran sudah mencukupi bagi Saidin. Kerana itu dia tidak memerlukan media sosial untuk mencadang produknya.

Saya kira lelaki berusia 50-an ini bernasib baik kerana mempunyai produk yang biasa tetapi mampu mendapat tempat di restoran. Dia tidak perlu bergelut dan berjuang dengan mana-mana penjual lain dalam media sosial.

Promosi

Saidin tidak perlu kenal dengan setiap pelanggannya seperti ketika dia berniaga nasi lemak di tepi jalan. Saya ingat lagi pada waktu itu dia kena melayan semua pelanggan pelbagai bangsa. Dia mesti memaniskan wajah dan mulutnya untuk memikat hati pelanggan. Ada sahaja topik perbualan yang dia buka agar pelanggannya tidak penat menunggu ketika dia mengambil pesanan.

Pada hari ini, perniagaan di restoran pun perlukan promosi melalui media sosial untuk menarik dan mengekalkan pelanggan. Jika tidak, pelanggan akan terlupa kewujudan kedai makan mereka kerana ada berbelas lagi kedai makan lain di kawasan yang berdekatan. Jika dahulu, orang Melayu biasanya akan keluar makan bersama keluarga bila dapat gaji atau pada hujung-hujung minggu, kini oleh kerana kesibukan dan kesuntukan masa, mereka lebih kerap berkunjung ke restoran tidak kira masa, tidak kira hari.

Artikel Berkaitan:

Jika biasanya mereka yang tidak mahu makan di restoran akan membeli makanan secara bungkusan, kini mereka tidak perlu ke restoran pun. Sebaliknya mereka akan memesan sahaja secara online atau melalui telefon.

Jika pihak restoran tidak menyediakan perkhidmatan menghantar makanan, ada sahaja runner daripada Grabfood dan Foodpanda yang sanggup menghantar makanan ke rumah. Perkhidmatan kiriman makanan ke kediaman menjadi saingan kepada perniagaan burger dan piza yang selama ini mendapat pelanggan melalui perkhidmatan penghantaran makanan.

Saingan bagi restoran juga adalah individu yang menyediakan masakan di rumah. Melalui media sosial, mereka menjual makanan. Perkhidmatan runner makanan pun digunakan oleh individu yang menjual makanan dari rumah. Kehadiran mereka sedang menjejaskan perniagaan restoran.

Kita boleh lihat di kawasan perumahan daripada 10 restoran yang dibuka, hanya dua tiga yang penuh dengan pelanggan sementara yang lain berjuang untuk hidup. Apabila makanan pun lebih kerap dibeli daripada dimasak sendiri di rumah, maka sinki pun tidak penuh dengan pinggan mangkuk apabila seisi rumah makan daripada bungkusan. Agaknya 10 tahun akan datang, pinggan mangkuk tidak lagi dijadikan barang hiasan di dalam almari kerana ia sudah jadi tidak penting.

Perubahan perilaku seisi rumah mendapatkan makanan secara beli sudah bukan perilaku orang bujang sahaja. Perubahan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar. Di bandar-bandar kecil pun keadaan ini sedang melanda. Internet memang mengglobalkan manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!