Antara populariti dan integriti
ISYTIHAR harta adalah salah satu usaha positif dalam mewujudkan pentadbiran telus dan transparensi. Ia membina integriti dengan membolehkan seseorang itu bersikap jujur dan tulus serta kelihatan sedemikian. Ia juga mampu menjauhkan segala prasangka dan persepsi negatif yang boleh menyingkirkan segala kebenaran dan hakikat.
Ramai mempercayai bahawa polisi pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam dan ahli Parlimen juga ahli politik mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan mereka. Tiada apa yang ingin disembunyikan baik di awal menjawat jawatan atau setelah berada di puncak kuasa.
Polisi ini juga sekiranya diamalkan secara komprehensif dan jujur maka ia mampu membantu pihak berwajib mengekang sebarang potensi penyelewengan dan korupsi daripada berlaku. Transparensi adalah polisi terbaik, ia tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun kerana ia mampu menolak sebarang konflik peribadi tanpa mengira siapa kita.
Pada masa yang sama, polisi ini mampu menjernihkan kita daripada sebarang pertuduhan jahat dengan tanggapan memiliki harta luar biasa di luar kemampuan dan tanpa mempunyai justifikasi jelas dan benar. Keadaan ini membolehkan pihak berkuasa lebih fokus dalam membina negara secara konstruktif berbanding sibuk dengan perkara remeh-temeh dan tuduhan tidak berasas.
Namun polisi ini tidak lengkap sekiranya sistem-sistem sokongan lain tidak dimantapkan. Contohnya perundangan, seseorang itu boleh mengisytiharkan seberapa banyak pun harta yang dimiliki secara jujur dan tulus. Namun perundangan tidak boleh dihalang dengan membebaskan secara semborono di atas kes yang sedang dibicarakan.
Sebaiknya ia perlu diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.
Pengisytiharan harta merupakan salah satu kaedah dalam memerangi korupsi. Sokongan sepenuhnya perlu diberikan dalam perlaksanaan polisi ini. Pada masa yang sama, sokongan-sokongan kepada perlaksanaan polisi-polisi lain perlu turut diperketatkan.
Penamatan projek sedia ada atau akan datang lantaran bukan ‘orang kita’ tanpa mengambil kira kompetensi perlu dijauhkan. Amalan anti nepotisme dan kroni yang kerap dilaungkan sebelum ini perlu kekal menjadi zikir.
Perlaksanaan polisi ini perlu dibuat secara komprehensif dan telus serta mengikut tatacara dan kaedah teknikal yang betul. Tindakan short cut dan popular dengan tidak mengambil kira kaedah betul sudah pasti tidak mampu memberikan impak positif kepada polisi yang baik.
Semestinya pihak kerajaan tidak mempolitikkan isu ini dengan menggambarkan bahawa pihak pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan polisi sebaliknya mereka perlu lebih jujur dengan mencari kaedah yang betul dan terbaik dalam mendapatkan impak positif kepada pelaksanaannya.
Selain itu, keselamatan individu yang mengisytiharkan harta serta keluarga mereka perlu turut dijaga dan dijamin. Potensi jenayah mungkin boleh berlaku sekiranya ia diambil secara sewenang-wenangnya. Namun dengan adanya sokongan dan dokongan penuh daripada pihak berwajib keadaan ini mungkin dapat dikawal dengan sebaik mungkin.
Polisi pengisytiharan harta perlu menjadi wadah dan bukan digunakan sebagai alatan politik semata-mata. Kerana itu, perlaksanaan secara komprehensif perlu dilakukan. Ia sungguh tidak adil sekiranya polisi ini digunakan sebagai alatan politik untuk menuding jari sebagai tidak telus dan tidak berintegriti kerana tidak bersetuju dengan cadangan polisi ini.
Kajian-kajian antarabangsa perlu diambil kira dan dipertimbangkan secara menyeluruh demi memastikan perlaksanaan polisi ini bukan setakat gimik politik semata-mata. Sebaliknya ia menjadi kaedah terbaik yang bukan setakat memastikan harta diisytiharkan semata-mata tetapi harta yang dimiliki adalah hasil daripada perolehan halal dan berintegriti.
Polisi ini tidak bertentangan dengan Islam tetapi perlaksanaan perlu dibuat dengan sebaik mungkin tanpa dihiasi motif politik serta tohmahan dan persepsi melulu. Tidak perlu gopoh dan semestinya ia perlu melalui proses dan kaedah perundangan yang betul.Pengisytiharan harta merupakan salah satu kaedah dalam memerangi korupsi."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!