Guna sebahagian elaun untuk buku: A.Samad Said

A.Samad Said mendeklamasikan sajak pada majlis Rumah Terbuka Meraikan Penggiat Seni dan Sastera di Rumah Tamu Datin Halijah,Sentul,Kuala Lumpur. - Foto: ZAHID IZZANI
A.Samad Said mendeklamasikan sajak pada majlis Rumah Terbuka Meraikan Penggiat Seni dan Sastera di Rumah Tamu Datin Halijah,Sentul,Kuala Lumpur. - Foto: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Setidak-tidaknya sebahagiannya saya guna untuk membeli Buku. Buku mahal sekarang,”.

Demikian menurut Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A.Samad Said berkongsi mengenai elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 yang diperuntukkan kerajaan kepada beliau serta enam lagi Sasterawan Negara baru-baru ini.

Lebih mesra dengan dengan panggilan Pak Samad, beliau menyifatkan insentif kerajaan itu sebagai penghargaan yang munasabah.

Katanya, beliau juga tidak menyangka akan memperoleh manfaat berkenaan namun bersyukur atas simbolik ingatan yang begitu berharga.

“Tentunya itu berguna bagi saya. Sebahagian lagi untuk gerakan saya.

“Kami sebagai seniman biasanya tak hidup senang tapi itu tidak bererti dengan wang itu ia akan lebih mendorong (hidup senang),” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Meraikan Penggiat Seni dan Sastera, di sini malam tadi.

Ditanya adakah bentuk penghargaan itu sepatutnya dilaksanakan sejak zaman kerajaan terdahulu, beliau bagaimanapun mengambil sikap lebih terbuka.

“Kita jangan fikir begitu. Ada usaha mengingat pun sesuatu yang baik. Alhamdulillah untuk sekarang pun munasabah. Ada ingatan ini pun sudah amat baik dan saya harap ini akan diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, mengulas mengenai kritikan warganet yang mempertikaikan jumlah elaun berkenaan, beliau berkata soal jumlah terletak kepada individu.

“Bagi yang ada duit ia seperti kecil, bagi yang tiada duit, duit seperti itu besar. Yang paling penting adalah ingatan bahawasanya keselesaan yang diberikan itu demi orang yang mencipta seni,” katanya.

Beliau juga percaya inisiatif kerajaan menyediakan manfaat buat sasterawan ini sebagai satu permulaan dan mampu diperluaskan kepada golongan lain yang menyumbang bakti kepada negara.

Baru-baru ini kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara bermula Jun.

Peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua Sasterawan Negara terbabit iaitu Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!