'Kalau tak berani, tak guna saya jadi polis'
SEJAK kecil, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pertanian. Namun, siapa sangka minat dan hobi itulah yang menjadi sumber rezeki untuk menampung kehidupan sewaktu 'terbuang' selama hampir tiga tahun daripada pasukan Polis Diraja Malaysia.
Dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Pengarang Berita, Zamri Rambli dan wartawan Meja Jenayah, Nurulatiq Ahmad Bandi serta Muhammad Afham Ramli, Abdul Hamid berkongsi pelbagai kisah suka dukanya.
Daripada pengalaman hidup di berek polis, bertani dan menternak ikan sehingga bangkit untuk memimpin pasukan Sang Saka Biru.
PADA bulan Mei, sewaktu Datuk Seri mendapat berita pelantikan sebagai Ketua Polis Negara, apa perkara pertama yang terlintas difikiran memandangkan perjalanan kerjaya kepimpinan Datuk Seri lebih berliku berbanding Ketua Polis Negara yang lain?
HAMID: Yang pertama sekali saya ada sebutkan sebelum ini, saya terkejut tapi tidaklah rasa terkejut sehingga saya melompat-lompat atau menjerit-jerit kesukaan. Saya terkejut bila mendapat panggilan daripada Jabatan Perdana Menteri. Sebelum itu tidak timbul soal saya akan ditawarkan jawatan itu, hanya ketika itu saya terkejut dan penuh rasa syukur. Yang saya dapat agak ketika itu bahawa tentu Perdana Menteri panggil saya untuk berjumpa dengan saya untuk mengucapkan terima kasih, itu sahaja. Berikan penghargaan sebab saya dilihat bersedia untuk tampil kehadapan untuk menyatakan perkara-perkara yang benar. Jadi itu sahaja yang saya terkejut sekejap, apabila mendapat tawaran daripada Perdana Menteri saya terima dengan penuh kesyukuran. Tidak ada apa-apa yang akan menyebabkan saya akan mendabik dada. Saya penuh sedar.
Dilahirkan dalam keluarga polis, bagaimana kerjaya ayah yang juga seorang polis memberi impak kepada Datuk Seri?
HAMID: Dilahirkan dan dibesarkan dalam berek polis, persekitaran yang dikawal oleh disiplin ketika itu. Contohnya ada pemeriksaan balai, pemeriksaan berek oleh OCPD (Ketua Polis Daerah) demi memastikan berek polis ini dalam keadaan bersih. Jadi dari kecil lagi memang telah didedahkan dengan budaya dalam PDRM. Apabila tiba waktunya OCPD membuat pemeriksaan kit dan berek. Kit itu peralatan polis seperti but, tali pinggang dan lencana semua. Jadi saya didedahkan bila tiba hari itu, keadaan dalam berek senyap sunyi. Anak-anak yang selalu main di padang akan duduk dalam rumah menunggu dengan teruja. Peralatan polis akan dipamerkan di luar pintu rumah kediaman setiap anggota. Ada satu kotak kayu yang dicatatkan pada kotak kayu tu nama anggota pangkatnya dan di dalamnya disusun kit.
Maka begitulah pendedahan kepada disiplin polis sejak dari kecil lagi sehingalah ketika dewasa saya tinggalkan keluarga untuk keluar bekerja sendiri. Jadi sekurang-kurangnya 18 tahun saya hidup dalam persekitaran berek polis.
Bagaimana Datuk Seri melihat pandangan dan penghormatan masyarakat kepada anggota dan pegawai polis pada zaman Datuk Seri kecil dan sekarang ini. Adakah pandangan itu sama ataupun berbeza?
HAMID: Saya tak dapat mengukurnya sebab apa, sewaktu kita kecil, negara kita masih dalam darurat. Ketika itu kita menguruskan negara yang berada dalam darurat, ancaman komunis daripada Parti Komuis Malaya. Sekarang ini tidak, sekarang untuk nak menguruskan sebuah negara yang aman, itu yang berbeza. Menguruskan keamanan pada zaman teknologi ini menyebabkan PDRM lebih terdedah kepada kritikan orang ramai. Orang ramai menghormati polis pada zaman dulu sebab ketika itu rakyat berdepan ancaman untuk dibunuh atau dicederakan oleh parti komunis ini, jadi secara automatik orang ramai memandang polis sebagai pelindung.
Sewaktu Datuk Seri bersara atau sebelum itu dikeluarkan daripada PDRM siapa orang di belakang Datuk Seri yang sentiasa menyokong. Adakah Datuk Seri rasa menjauh hati dengan pasukan polis masa itu?
HAMID: Kalau saya nafikan perkara itu, saya tidak bercakap betul. Ketika itu memang saya amat kecewa. Yang membuat saya kecewa dan melenting sebenarnya bila saya dipaksa keluar daripada PDRM dan ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri sedangkan sebelum itu saya merayu agar tindakan yang diambil ke atas saya janganlah saya sampai dikeluarkan daripada PDRM.
Biarlah saya berkhidmat sehingga saya pencen, waktu itu ada tiga tahun. Bagilah saya peluang untuk berkhidmat dalam kapasiti yang lain kalau bukan lagi dalam Cawangan Khas.
Saya tak mahu duduk dalam cawangan khas, saya sendiri menawarkan diri untuk keluar daripada Cawangan Khas dan diberikan jawatan lain. Saya minta sendiri kepada Tan Sri Khalid menyatakan saya membuat permohonan kepada beliau, janganlah saya dikeluarkan daripada PDRM.
Itu saya anggap sebagai satu hukuman, saya tak boleh terima sebab darah daging saya PDRM. Jadi kalau saya ditukarkan kononnya dengan alasan sebagaimana yang diberikan oleh menteri KDN ketika itu untuk saya diberikan satu kenaikan gaji dan saya pergi ke sana saya boleh berkhidmat dengan memberikan mencurahkan pengalaman saya dalam menangani ancaman terrorisme itu, semua bunga-bunga sahaja.
Tapi hakikatnya saya dihukum keluar daripada PDRM. Supaya saya tidak ada lagi pengaruh atau apa-apa dalam PDRM. Itu tujuannya menghukum saya. Sebab itulah saya membuat keputusan untuk saya bersara awal. Sebab tak ada lagi roh dalam diri saya untuk meneruskan perkhidmatan dalam kapasiti sebagai pegawai yang dipinjamkan ke dalam jabatan lain.
Cerita Datuk Seri boleh dilantik menjadi Ketua Polis Negara ini adalah satu kisah bagaimana seseorang berdepan dengan satu cabaran dan kegagalan dan dia boleh bangkit semula. Jadi apakah yang Datuk Seri nak beritahu khususnya orang-orang muda tentang situasi ini?
HAMID: Itu saya anggap sebagai satu takdir, bukanlah luar biasa. Saya bukan manusia luar biasa, cuma mungkin daripada latihan di pusat latihan, pendidikan yang saya terima sewaktu bersekolah dulu, guru-guru saya ustaz saya di asrama dan yang paling sekali adalah ajaran didikan ibu bapa sendiri.
Jadi agak menebal dalam diri tentang nilai-nilai integriti. Selalu didendang di telinga saya oleh arwah mak saya jangan ambil duit orang mak tak nak pun apa-apa kemewahan. Jangan ambil duit rasuah. Begitu juga pesanan arwah bapa saya, jangan sesekali ambil rasuah, nanti tertangkap, malu aib keluarga. Biarkan hidup macam ni, bapa pun tak minta apa-apa, kereta atau sebagainya.
Berbekalkan dengan nasihat-nasihat macam itulah menguatkan lagi azam saya untuk menjadi seorang pegawai polis yang dalam erti kata sebenarnya itulah dia pegawai polis. Bermakna orang yang ada integriti, yang sanggup jalankan tugasnya dengan amanah. Saya akan cuba terapkan nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh pegawai polis.
Jadi bukanlah ia satu luar biasa, ia adalah takdir. Dan saya yakin, ramai lagi pegawai muda yang mempunyai pegangan hidup pegangan disiplin yang sedemikian mereka Insya Allah akan menyerlah satu hari nanti ketokohan mereka sebagai seorang pegawai polis yang berwibawa.
Saya seronok sebab ramai mereka mempunyai pendidikan yang tinggi, mempunyai kelulusan ijazah pengajian tinggi yang di peringkat diploma dan yang lepasan universiti mempunyai dua, tiga hingga empat ijazah. Saya seronok melihat apa yang ada dalam pasukan. Jadi saya yakin lebih ramai lagi mereka yang berkhidmat dengan berwibawa yang akan wujud dalam pasukan.
Selepas Datuk Seri bersara dan memilih untuk balik ke kampung dan juga bertani, kenapa bertani dan ketika bertani itu adakah ada orang yang macam memandang sinis akibat lantang bersuara ketika dalam PDRM?
HAMID: Saya buat keputusan untuk balik ke kampung, saya cuba untuk mencari kerja selepas itu dengan cara biasa tapi ditolak atas alasan mereka takut sebab bila ada kaitan dengan saya nanti mungkin pihak tertentu akan mengambil tindakan menutup pintu rezeki syarikat-syarikat itu. Permohonan kerja saya itu tidak mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Jadi apakah selepas itu yang boleh saya lakukan untuk menambah pencen yang saya dapat. Sebelum ini saya mendapat gaji penuh namun dalam masa sekelip mata dalam masa satu bulan saya beri notis untuk bersara, hanya akan tinggal 50 hingga 60 peratus sahaja daripada pendapatan bulanan saya sebelum ini.
Jadi saya nak cover, secara kebetulan minat saya sebenarnya adalah dalam bidang pertanian, memang minat sejak kecil. Sewaktu saya tinggal di berek khususnya di balai polis Jerantut, saya sempat berkebun di luar pagar berek ada tanah terbiar sedikit. Saya ingat lagi sewaktu itu saya sudah buat kebun saya sendiri. Saya tanam ubi, terung, cili dan tebu. Lepas tu dengan arwah bapa saya pun memang asal dari kampung jadi memang tahu lah semua benda-benda tu. Arwah abah saya pada satu petang lihat saya ambil cangkul dan mula cangkul lalang-lalang, agaknya terbuka pintu hati ayah melihat anaknya, kemudian akhirnya dia pun ikut serta sekali.
Yang kedua adalah ikan, saya minat bidang perikanan dan sewaktu saya bertugas di Rawang saya dapat berkenalan dengan ramai pengusaha kolam ikan dan kebun yang diusahakan orang Cina serta berkawan dengan mereka. Mereka dengan murah hati menghormati saya sebagai seorang pegawai polis dan niat saya baik saya tidaklah mengugut mereka untuk ikan dan sayur percuma, hanya untuk belajar. Sehingga ke hari ini saya masih berkawan dengan mereka. Mereka turunkan ilmu tentang cara mana nak buat kolam dan bela ikan. Semua saya sudah bela daripada talapia, baung dan udang galah pun saya dah bela.
Jadi bila saya balik kampung dah ada ilmu tu semua, saya terjemahkan dengan gunakan sebidang tanah milik adik beradik perempuan saya lima ekar kemudian saya sewa tanah jiran saya tiga ekar jadi lapan ekar.
Jadi itulah, saya terpaksa buat kebun tu kerana dia cash crop contohnya saya buat timun dalam masa 28 hari saya dah dapat pulangan. Saya dah mula hantar ke pasar di Seremban dan duitnya dalam masa sebulan saya dapat balik, untung kalau harga baik bergandalah untung, kalau harga tak baik, tapi buat masa itu saya tak pernah kena lagi harga tak baik.
Datuk Seri ialah seorang yang tidak bermain golf, tetapi ramai pegawai Datuk Seri yang bermain golf. Apa pandangan Datuk Seri?
HAMID: Saya galakkan ia jika bermain untuk kesihatan, tidak jejaskan waktu bekerja, jaga tertib sebagai seorang pegawai dan tertib apabila berdamping dengan orang ramai. Tetapi sekiranya kegiatan itu boleh timbulkan perkara negatif, bila main golf ada pertaruhan dengan nilai luar biasa, beribu ringgit, mana datang jumlah itu? Takkan kita taruhkan gaji kita. Budaya pertaruhan ini tidak sihat. Itu saya tidak galakkan.
Sebelum ini Datuk Seri lantang bersuara dalam isu seperti 1MDB semasa kerajaan lama. Adakah sekiranya timbul isu yang hampir seperti itu Datuk Seri juga akan buat perkara yang sama?
HAMID: Ya! Saya bertekad sebelum ini berani berkata benar. Hanya cara berkata benar itu adalah dengan bersopan. Sebelum ini perkara ketidakpuasan hati saya tentang maklumat salah laku telah disampaikan kepada peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mesyuarat Ketua Setiausaha Negara, tetapi ia tidak mendapat tindak balas sepatutnya Sebab itulah saya ambil keputusan langgar peraturan beranikan diri untuk bercakap.
Saya tiada ruang lain untuk saya sampaikan perkara itu, saya terpaksa ambil risiko, risiko itu saya ambil dan saya ditukarkan. Diambil tindakan, nyawa saya diancam dan saya ambil risiko itu.
Saya pegawai polis, saya bukan penghulu, saya ada sumpah keramat yang saya lafaz dulu. Kalau tidak berani tak gunalah saya masuk polis. Itu bukan tanda riak saya, memang itu sumpah keramat polis, kena berani. Kalau tidak saya jadi pekebun sayur, tiada siapa ancam saya pun.
Saya mahu pegawai dan anggota sedar berbalik kepada sumpah keramat yang dilafazkan semasa hari pertama melangkah jadi warga PDRM dulu. Bila bersara nanti dalam keadaan terbela, dapat pencen, penghormatan daripada masyarakat dan tidak dipandang jijik.
Bagaimana pula dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Adakah ia juga akan jadi kes sejuk?
HAMID: Dalam kes ini, mereka yang melarikan diri seperti Jho Low akan ditangkap dan akan dibawa balik ke muka pengadilan. Kes ini telah meletup sejak kira-kira empat tahun lalu. Sebelum ini saya ada mengeluarkan kenyataan media mengatakan kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Saya kekal dengan kenyataan itu. Saya akan berusaha untuk bawa mereka ke muka pengadilan.
Kes itu sudah empat tahun dan saya baru dalam sebulan lebih. Bila saya kata dalam masa terdekat, maknanya ada tempoh tertentu yang dimaksudkan dengan masa terdekat. Kita yakin dapat bawa dia (Jho Low) pulang ke Malaysia. Kerjasama dengan pihak luar juga baik dan saya sedang berurusan dengan mereka. Ini melibatkan beberapa undang-undang antarabangsa. Jadi, saya yakin dapat bawa balik Jho Low dan beberapa individu yang dicari. Itu salah satu janji saya ketika terima jawatan sebagai Ketua Polis Negara.
Datuk Seri, negara dikejutkan dengan tular video yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet. Apa perkembangan kes itu setakat ini?
HAMID: Proses siasatan masih berjalan, ia rumit dan perkara ini saya tidak beri apa-apa tekanan kepada pasukan penyiasat. Proses ini mesti berjalan dengan bebas tanpa tekanan daripada sesiapa agar setiap sudut untuk mendapatkan maklumat, kenyataan, penjelasan itu dapat dibuat semuanya.
Kita interaksi dengan pihak peguam negara untuk mendapatkan nasihat apa panduan kepada kami. Proses siasatan ini berjalan, tidak sebagaimana gambaran kononnya ada unsur hendak tutup itu dan ini.
Proses analisis video tersebut juga sedang berjalan, maklumlah dalam teknologi ini, bukannya hanya menerusi tiga atau empat orang duduk dan sahkan, usah begitu. Jika tak buktikan secukupnya, ia akan menjahanamkan masa depan seseorang. Mungkin ada orang ambil tindakan konspirasi jahat untuk aibkan seseorang. Itu adalah satu kesalahan dan kita siasat hal itu.
Dalam apa juga kes yang menarik perhatian, memang jadi hasrat polis untuk selesaikan seberapa segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!