PAKISTAN - Hanya kerana mengesyaki isterinya curang, seorang lelaki bertindak menembak mati wanita itu, dua anak mereka termasuk enam keluarga mentuanya. Muhammad Ajmal mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai membalas dendam kepada isterinya. Pegawai Polis Bandar Multan, Imran Mehmood, berkata, suspek juga bertindak membakar kediaman keluarga isterinya bersama kesemua mayat. "Dalam kejadian di Multan, Pakistan semalam, lelaki itu membunuh isteri, dua anaknya, ibu mentua, tiga ipar serta anak-anak mereka. "Ketika disoal siasat, Muhammad Ajmal mengaku melakukan pembunuhan kerana berdendam dan mensyaki isterinya curang. "Suspek berkata, Kiran (isteri) didakwa menjalin hubungan sulit selepas suspek melihat gambar wanita itu bersama lelaki lain," katanya. Kata Imran, suspek bekerja sebagai tukang jahit di Arab Saudi namun pulang ke Pakistan semata-mata mahu melakukan pembunuhan kejam itu. "Berdasarkan laporan, suspek dan ayahnya ditahan akan didakwa atas tuduhan membunuh. "Polis masih memburu seorang saudara lelaki suspek yang dipercayai terbabit dalam jenayah itu," katanya. - Reuters