Bapa yakin Zahiruddin masih boleh ditemui

Muhammad Zahiruddin Putra
Muhammad Zahiruddin Putra
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah hampir empat bulan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi iaitu kanak-kanak lapan tahun yang hilang sejak April lepas selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, dekat sini, bapanya Mohd Fauzi Abdul Ghaffar yakin bahawa anaknya masih boleh ditemui.

"Naluri saya sebagai seorang bapa amat kuat bahawa dia (Muhammad Zahiruddin Putra) masih selamat, berada dalam keadaan baik dan mempunyai harapan untuk ditemui.

"Saya dan keluarga tidak pernah putus berdoa kepada Allah agar memberikan kami petunjuk kes kehilangan anak saya. Saya tetap akan mencari dia walau apapun yang terjadi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Fauzi berkata setakat ini pihak polis tidak mempunyai maklumat yang tepat berhubung kes anaknya dan beliau kerap menghubungi polis untuk sebarang perkembangan terkini anaknya itu.

"Saya selalu menghubungi pegawai penyiasat kes kepada anak saya, tetapi mereka tiada maklumat terkini dan masih meneruskan siasatan seperti biasa,” katanya.

Pada 16 April lepas, Muhammad Zahiruddin Putra dilapor keluar dari rumahnya pada kira-kira pukul 8 pagi untuk bermain dan sejak itu tidak pulang ke rumah.

Mohd Fauzi juga membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada hari sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!