KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan rumah pengasuh lokasi kejadian budak 12 tahun merogol anak asuhan berusia empat tahun ditutup. Menurutnya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah ke rumah berkenaan di Batu Gajah, Perak. Bercakap kejadian itu, Dr Wan Azizah berkata, pengasuh tersebut mengasuh lapan kanak-kanak dan tidak berdaftar. "Sepatutnya mesti daftar sekiranya mengasuh lebih empat kanak-kanak atau bayi," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lagi, beliau kesal dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka leka dengan telefon pintar sehingga terdedah kepada kandungan berunsur lucah. "Sepatutnya anak-anak dipantau apabila diberikan telefon pintar," katanya. Dr Wan Azizah berkata, kerajaan mesti memantau dengan lebih ketat pusat asuhan yang tumbuh melata ketika ini. "Pihak berkuasa sudah mengambil tindakan perlu demi kebaikan semua pihak. "Ibu bapa yang bekerja memang tiada pilihan selain menghantar anak ke pusat asuhan, tapi susah untuk pantau semua kerana kita tidak tahu di mana lokasi. "Di Putrajaya pun banyak tak daftar," katanya. Kelmarin budak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dijaga oleh ibunya di rumah mereka di Batu Gajah. Suspek yang juga murid Tahun Enam dipercayai sudah melakukan perbuatan jijik itu terhadap mangsa sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan lalu. Difahamkan, ibu suspek berusia 42 tahun tidak bekerja dan hanya mengambil upah mengasuh lapan kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun dari 6.30 pagi hingga 9 malam. ARTIKEL BERKAITAN: Terangsang tonton video, murid darjah 6 noda budak 4 tahun