Polis perlu dapatkan kebenaran khas bertulis untuk ke pusat hiburan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (duduk, tengah) bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Jalil.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (duduk, tengah) bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Jalil.
A
A
A

BUKIT JALIL - Semua pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur diwajibkan mendapat kebenaran khas bertulis bagi membolehkan mereka mengunjungi pusat hiburan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kebenaran khas berkenaan akan dikeluarkan oleh ketua polis, timbalan ketua polis atau ketua jabatan siasatan jenayah.

Menurutnya, kebenaran itu hanya diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat dengan tugasan khas seperti intipan dan risikan bagi mendapatkan maklumat tentang salah laku operasi sesebuah pusat hiburan.

"Dapat kebenaran khas bertulis baru boleh masuk tapi kena ada fail dengan maklumat dan untuk tugas serta apa keperluan mereka masuk ke pusat hiburan," katanya pada sidang media di Balai Polis Bukit Jalil, hari ini.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang arahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai larangan kepada polis daripada mengunjungi pusat hiburan yang disiarkan melalui wawancara bersama Sinar Harian semalam.

Mazlan berkata, pihaknya tidak menafikan dalam keadaan tertentu kunjungan polis ke pusat hiburan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Kadang masyarakat keliru bila nampak polis masuk (pusat hiburan) dan bersembang dengan GRO (wanita pelayan pelanggan).

"Itu tugas khas untuk mendapatkan maklumat dan kemudian disusuli dengan tindakan serbuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan menambah, namun jika ada dalam kalangan polis yang masuk ke pusat hiburan untuk berhibur, tindakan tegas akan diambil.

"Mereka akan dikenakan tindakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) malahan kita tambah lagi dengan tindakan tatatertib.

"Kalau positif (dadah) semasa ujian saringan air kencing, dia juga akan dikenakan tidakan," katanya.

Terdahulu Mazlan memberitahu, pihaknya sedia maklum terdapat banyak pusat hiburan di ibu negara.

"Memang telah dimaklumkan secara tegas kepada pegawai dan anggota saya di IPK KL (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur) agar tidak mengunjungi pusat hiburan selain tujuan mendapatkan maklumat dan operasi.

"Dan sebelum ini, tindakan juga pernah diambil ke atas pegawai dan anggota yang pergi berhibur di pusat-pusat hiburan," katanya.

Abdul Hamid dalam wawancara bersama Sinar Harian berkata, spesifik arahan tersebut sebenarnya telah dikeluarkan lebih kurang 20 tahun dahulu tapi lama kelamaan arahan berkenaan mula diabaikan.

"Lama-lama arahan tinggal arahan sahaja, tidak pernah dikuatkuasakan, kalau dikuatkuasakan pun hanya hambar sahaja.

"Kali ini saya berikan nafas dan mesej baru bagi ianya jelas dan ia berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!