Dua lelaki mengaku tidak bersalah jual arak haram

Hla Win (baju biru) dan Gunaselan (baju hijau) mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan memiliki arak haram.
Hla Win (baju biru) dan Gunaselan (baju hijau) mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan memiliki arak haram.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret L Umma Devi terhadap tiga pertuduhan melibatkan penjualan arak haram di Mahkamah Majistret 1, di sini tadi.

Mengikut pertuduhan pertama, Hla Win, 50 bersama rakannya G Gunaselan, 41 dituduh bersama melakukan kesemua kesalahan itu di 21 Jalan Kajang di sini pada jam 6.18 petang, 24 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh memiliki dan menyembunyikan lapan jenis barangan tidak berkastam dengan nilai keseluruhan RM42,882.94.

Bagi pertuduhan itu, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 134 (1) (iii) (aa) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengilang samsu haram di alamat, tarikh dan waktu yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Membaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang daripada empat tahun dan sebat tidak kurang daripada dua kali.

Hla Win (baju biru) dan Gunaselan (baju hijau) mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan memiliki arak haram.
Hla Win (baju biru) dan Gunaselan (baju hijau) mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan memiliki arak haram.

Artikel Berkaitan:

Untuk pertuduhan ketiga, kedua-duanya dituduh melakukan persediaan untuk memperdagangkan samsu haram.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan tidak kurang empat tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan serta masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam kepada Hla Win, Andy Ooi dalam rayuannya meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai pasport dan pas pekerja yang sah dan mempunyai dua anak di sini berusia 4 dan 6 tahun yang dijaga jirannya selain sedia memenuhi apa-apa syarat ditetapkan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan masing-masing sebanyak RM10,000; RM6,000 dan RM7,000 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap Isnin di balai polis terdekat sepanjang jaminan berkuat kuasa.

Sementara itu, peguam Gunaselan, M Priya dalam rayuannya menjelaskan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain perlu menyara tiga anak berusia satu hingga 16 tahun serta ibu yang menghidap penyakit diabetes.

Mahkamah kemudiannya menetapkan masing-masing sebanyak RM8,000; RM5,000 dan RM6,000 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan seorang penjamin.

Umma Devi turut menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh semakan semula kes.

Polis sebelum ini melaporkan dua lelaki tempatan dan empat warga asing maut akibat keracunan metanol selepas minum arak buatan sendiri dalam beberapa kejadian sejak dua bulan lalu.

Seramai tujuh lagi lelaki warga asing turut mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat meminum arak buatan sendiri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam maut sejak dua bulan lalu minum arak tiruan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!