'Perkara normal jika pembangkang nak jatuhkan kerajaan'
KUALA LUMPUR – Tiada apa yang pelik jika pembangkang mengharapkan kerajaan sedia ada tumbang, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan menjatuhkan kerajaan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah perkara wajib dilakukan adalah suatu desakan normal daripada pembangkang.
“Saya fikir isu kalau pembangkang tak tumbangkan lawan, siapa lagi dalam konteks politik? Saya fikir memang kalau kita (pembangkang) bekerja keras wajib untuk tumbangkan kerajaan, dan untuk itu, normal lah.
“Peliklah sekiranya parti pembangkang mencadangkan kerajaan yang ada ini supaya dipertahankan, saya rasa perkara ini mengarut dan tak ada isu sangat,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, standard perdebatan Nik Zawawi hanya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.
“Kalau kita nak cari jalan penyelesaian kena duduk dan berbincang secara ilmiah dan yang sesuainya adalah mereka berdua (Mujahid dan Nik Zawawi), bukan orang lain.
“Orang lain tidak ada standard pun dari segi itu kalau nak bincang,” katanya.
Pada 23 Jun lalu di Muktamar Tahunan Pas ke-65, Nik Zawawi menyifatkan menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan PH adalah perkara wajib dilakukan.
Katanya, matlamat itu akan dicapai menerusi tahaluf siyasi (muafakat politik) dan ta’awun (kerjasama demi kepentingan Islam) yang diwujudkan parti itu dengan UMNO serta parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!