Jujur saya memang rindu: Tya Ariffin
PELAKON kelahiran Indonesia, Tya Ariffin meluahkan rasa rindu untuk kembali aktif berlakon setelah agak lama berehat demi memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan keluarga.
Semenjak berkahwin dengan suami, Asyraf Khalid, lebih empat tahun lalu dan bergelar ibu kepada dua cahaya mata comel, Tya mengakui banyak menolak tawaran berlakon kerana kekangan masa.
Bagaimanapun, selepas melahirkan anak keduanya, Azzahra Jiwa, dua bulan lalu, Tya atau nama lengkapnya Nurtria Wulandari Arifin, 25, berhasrat untuk kembali berlakon jika mendapat tawaran yang bersesuaian dan jadualnya tidak terlalu menuntut masa yang panjang.
“Jujurnya memang Tya rasa rindu untuk berlakon kembali kerana itu adalah minat Tya. Apatah lagi banyak tawaran yang datang.
“Namun dengan status Tya sekarang sebagai seorang isteri dan ibu, tentulah Tya perlu lebih bijak memilih tawaran yang berbaloi sama ada daripada aspek naskhah mahupun jadual kerja,” kata Tya kepada Sinar Harian.
Tambah bintang sinetron Preman Pensiun ini lagi, buat masa ini dia banyak terlibat dengan program TV yang tidak mempunyai jadual kerja yang panjang.
“Ketika hamil anak kedua, Tya didatangi tawaran serentak untuk membintangi filem dan sinetron di Indonesia serta program TV di Kuala Lumpur.
“Tya memutuskan untuk menerima tawaran terlibat dengan program TV atas faktor masa dan komitmen. Jadi bila dah lepas pantang dan kembali bekerja ini, Tya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk terima tawaran berlakon pula.
“Insya-ALLAH Tya akan pertimbangkan tawaran untuk membintangi sebuah filem di Indonesia tidak lama lagi. Untuk sinetron, mungkin belum masanya kerana ia menuntut komitmen masa yang panjang sedangkan anak-anak masih kecil,” kata Tya.
Terharu penerimaan peminat Tya yang juga menantu kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza ini bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila menerima sambutan dan respons yang positif daripada peminat-peminat di Malaysia. Malah program Maharaja Lawak Mega 2018 yang menyaksikan Tya bertindak sebagai salah seorang juri tetap selain program realiti In Love With Tya menerima maklum balas yang begitu baik daripada penonton.
“Alhamdulillah memang Tya tidak pernah menyangka mendapat tempat yang sebegitu baik di hati peminat di Malaysia.
“Meski tidak di dalam dunia lakonan namun mereka ini sering memberi sokongan terhadap program-program yang melibatkan Tya.
“Mudah-mudahan apa sahaja perkongsian yang ditampilkan dalam program tersebut dapat memberikan manfaat kepada semua,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Tya yang ditemui pada majlis pelancaran produk kurus KilaFit by Kilafairy baru-baru ini juga sibuk menguruskan perniagaan Jamu Mutiara yang telah diusahakannya lebih setahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!