Bayi dibuang dalam kotak tepi jalan
ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui dalam kotak di tepi jalan kira-kira 100 meter dari sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Jelai, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, bayi itu telah ditemui oleh seorang lelaki yang melalui jalan tersebut kira-kira jam 8.20 pagi.
Menurutnya, sebuah kereta peronda polis telah digerakkan menghala ke lokasi dan mendapati bayi berkenaan masih hidup.
"Bayi ini telah diberikan susu dan ditukar lampin oleh seorang pekerja perempuan yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah tersebut.
"Bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dengan menggunakan ambulans dan kini berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rozi berkata, pihaknya sudah merakamkan percakapan saksi-saksi yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu pembuangan kanak-kanak bawah 12 tahun oleh ibu bapa.
"Kami harap ibunya tampil membantu siasatan atau dalam masa yang sama menyeru orang ramai yang ada maklumat dapat hadir ke balai terdekat," katanya lagi.
Menurutnya, bayi tersebut kini ditempatkan di wad NICU Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan susulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!