Ajal dua beradik mandi parit
PARIT BUNTAR - Polis mendedahkan dua beradik ditemui lemas di Parit Tali Air, Kuala Bagan Tiang di sini lewat petang semalam sebenarnya bermain dan mandi di lokasi kejadian pada dua hari berturut-turut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Sanusi Salleh berkata, dua beradik berkenaan, Nor Anisa Najwa Mohd Zaki,10, dan adiknya, Nor Ayuni Najatul,8, difahamkan berada di lokasi kejadian bermula kelmarin sebelum berlakunya tragedi lemas.
Menurutnya, ibu mangsa berusia 47 tahun sewaktu ditemubual memaklumkan mereka mahu pergi bermain dan mandi di parit tali air terletak kira-kira 500 meter dari kediaman mereka sekitar jam 6.30 petang semalam.
"Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Megat Aris, Bagan Tiang telah pergi ke Kelas Pengajian Fardu Ain (Kafa) bersebelahan Masjid At Taqwa,di sini.
"Selepas tamat sesi kelas, kedua-dua anak mangsa terdahulu pulang ke rumah sebelum memaklumkan untuk keluar bermain dan mandi di tali air di situ," katanya sewaktu dihubungi media di sini hari ini.
Sanusi berkata, ibu mangsa turut mendedahkan semalam merupakan hari kedua mereka melakukan aktiviti sama di lokasi sama sebelum kejadian tidak diingini menimpa mereka.
"Mayat pertama iaitu mayat si adik, Nurul Ayuni dijumpai sekitar jam 7.15 petang dalam keadaan terapung di permukaan tali air.
"Mayat kedua yang merupakan kakak mangsa, Nur Anisa Najwa dijumpai penduduk sekitar jam 8.30 malam susulan operasi pencarian dasar dilakukan secara beramai-ramai," katanya.
Sanusi berkata, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan hasil bedah siasat dilakukan Unit Forensik Hospital Parit Buntar mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.
ARTIKEL BERKAITAN Bapa terkejut dua anaknya ditemui lemas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!