KPM, JPN Johor bincang isu pembelajaran murid tahun enam terjejas
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, beliau maklum akan kebimbangan ibu bapa kerana anak-anak yang terlibat bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam tempoh dua bulan lagi.
"Kita akan bincang dengan JPN Johor, malah sudah beri mereka kuasa untuk tangani isu ini termasuk perlu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) murid-murid tidak terjejas.
"Saya rasa JPN Johor juga sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan PDP ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Pemakanan Sihat bersama Numee 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Terdahulu tular dua buah video memaparkan seorang pelajar tahun enam yang terkesan dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim sejak beberapa bulan lalu.
Pelajar tersebut sukar untuk berjalan dan kelihatan terketar-ketar, malah sehingga kini dilaporkan masih berulang-alik untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Bapa kepada pelajar terbabit turut dilaporkan menyatakan rasa bimbang kerana anaknya juga bakal menduduki peperiksaan UPSR tetapi masih terjejas akibat perkara itu.
Rentetan itu, isu sama turut menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa murid-murid tahun enam yang terlibat dalam gelombang kedua pencemaran di Pasir Gudang sejak lebih seminggu lalu.
Sementara itu, mengulas berhubung silibus mata pelajaran tahun empat bagi tahun 2020 yang dikatakan semakin mencabar kerana bilangan tajuk dikurangkan daripada 18 tajuk kepada lapan, Nie Ching berkata, beliau perlu merujuk perkara itu dengan bahagian kokurikulum kementerian terlebih dahulu.
"Beri saya masa untuk semak dan dapatkan maklumbalas dari bahagian tersebut sebelum kita beri sebarang kenyataan," katanya.
Semalam, seorang pemilik akaun Facebook dipercayai seorang guru mendedahkan walaupun jumlah tajuk dikurangkan, perkara sebenar yang berlaku adalah kesemua 18 tajuk itu dipadatkan dalam lapan tajuk tersebut.
Menurut status itu lagi, pelajar tahun empat diminta bersedia lebih awal dan guru-guru juga perlu bersedia dengan silibus lebih berat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!