MBJB siasat pencemaran Sungai Danga
JOHOR BAHRU - Susulan penularan gambar keadaan Sungai Danga, di sini, yang tercemar di laman sosial, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjalankan operasi bersepadu pada 1 Julai lalu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, operasi tersebut bagi memantau keadaan Sungai Danga yang berada berdekatan dengan Kampung Orang Asli Taman Perling.
Menurutnya, operasi itu diketuai Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail serta disertai oleh wakil dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Indah Water Konsortium (IWK).
"Untuk makluman Sungai Danga merupakan sungai yang berada di bawah selenggaraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pemakluman awal daripada pihak JAS menyatakan pencemaran tersebut berpunca daripada 'final discharge' daripada loji milik IWK di kawasan Taman Bukit Indah dan Taman Perling.
"Namun begitu, hasil pemantauan menggunakan peralatan dron, didapati terdapat perubahan warna sungai daripada warna coklat kepada warna hitam berlaku berhampiran loji IWK di Jalan Simbang 19 di mana ianya berada di dalam kawasan pentadbiran MBIP," katanya pada Mesyuarat Penuh Bilangan-6 Tahun 2019 di sini hari ini.
Amran berkata, pihak MBIP akan memajukan penemuan itu kepada JPS untuk tindakan lanjut memandangkan sungai tersebut berada di bawah penjagaan agensi itu.
Terdahulu tular di laman sosial khususnya Facebook beberapa keping gambar menunjukkan keadaan Sungai Danga yang tercemar dengan didakwa berbau busuk dan berwarna hitam.
Gambar tersebut dimuat naik kerana kebimbangan umum akan berulangnya kejadian pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Pasir Gudang, Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!