Siasat masalah saliran cetek Kuala Sungai Pinang

Saliran semakin cetek akibat pembuangan sisa dari kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang.
Saliran semakin cetek akibat pembuangan sisa dari kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan negeri ini digesa menyiasat masalah saliran cetek di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di sini.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, siasatan mendapati, masalah itu berpunca daripada sisa buangan kolam ternakan udang ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu itu dibimbangi boleh mencemarkan alam sekitar, kawasan perikanan dan penyebab berlakunya banjir kilat di kawasan tersebut jika tidak ditangani segera.

"Tinjauan CAP mendapati, selain mendapan lumpur yang menyebabkan saliran sepanjang kira-kira 1 kilometer tertimbus, sisa buangan dari kolam ternakan udang itu juga mengalir ke laut.

"Dengan itu, kita berasa bimbang kemungkinan sisa buangan berwarna putih serta berbuih yang terdapat di dalam saliran itu mengandungi bahan beracun dan mengancam hidupan laut serta mencemarkan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan medianya tadi.

Beliau berkata, berpuluh hektar hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut turut musnah akibat pelaksanaan projek akuakultur tersebut.

"CAP menerima aduan dari nelayan di kawasan ini bahawa ikan, udang, ketam dan siput telah berkurangan dan diancam kepupusan. Sehubungan itu, kita berharap pihak terlibat dapat menyelesaikan masalah ini segera.

"Ini kerana, jika dibiarkan, alam sekitar dan kehidupan dan pendapatan lebih 200 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan berkenaan akan terjejas.

Selain itu, rumah berhampiran projek ternakan udang itu diancam banjir kilat ketika hujan kerana sistem saliran tidak berfungsi berikutan pengaliran air tersekat dan melimpah di kawasan tersebut," katanya.

Mohideen berkata, pihaknya berpendapat pihak bertanggungjawab perlu menangani masalah ini segera supaya kesan buruk yang lebih serius tidak berlaku kepada alam sekitar, kehidupan nelayan dan penduduk pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!