PM umum inisiatif baharu Felda sempena Hari Peneroka

No Image Caption
A
A
A

ROMPIN - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan inisiatif model baharu Felda pada sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3 Muadzam Shah di sini, Ahad ini.

Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar berkata pengumuman itu diharap membolehkan peneroka tidak lagi terlalu bergantung kepada tanaman sawit yang harganya tidak menentu. "Kita berharap peneroka berusaha dengan kaedah yang sedikit berbeza dari dahulu contohnya menerusi kaedah menyewakan tanah bagi jangka panjang dan terlibat dalam tanaman kontan," katanya ketika melawat tapak sambutan progam itu di sini hari ini.

Beliau berkata sewaan jangka panjang dilihat lebih memanfaatkan peneroka terutama yang sudah berusia kerana Felda akan membuat tanaman semula tanpa mereka perlu berhutang modal tanaman semula.

Katanya, terdapat lebih 70 peratus peneroka yang berusia lebih 56 tahun dan ada kalangan mereka menghadapi masalah untuk mewariskan tanah kerana anak berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan lain.

Othman berkata tanaman kontan pula mampu memberi pulangan lima hingga 10 kali ganda dan berkemungkinan lebih lagi jika diusahakan dengan menggunakan teknologi canggih, berbanding kelapa sawit.

Beliau berkata seramai 10,000 warga peneroka dijangka memeriahkan sambutan Hari Peneroka, yang juga dijangka dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Kita juga akan berkongsi pelbagai pameran berbentuk keusahawanan oleh peneroka seperti pameran ternakan arnab ketika hari sambutan itu," katanya.

Othman berkata Perdana Menteri juga dijadual mengumumkan pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda bagi 2018 yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung juga dapat menyaksikan demonstrasi masakan daripada chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!