Denda maksimum RM6 juta jika ceroboh perairan negara
KUALA LUMPUR - Denda maksimum kepada nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia akan dinaikkan dari RM1 juta kepada RM6 juta melalui pindaan terhadap Akta Perikanan 1985.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan dari RM100,000 kepada RM600,000.
“Jemaah menteri pada 26 Jun lepas bersetuju supaya kementerian ini meminda Akta Perikanan 1985,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) berkaitan hasrat kementerian untuk meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan asing.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata 1,182 vesel asing ditahan sejak 12 tahun lepas dengan penangkapan paling tinggi melibatkan 706 vesel dari Vietnam.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap individu atau penjawat awam yang terlibat memberi maklumat kepada vesel asing mengenai sebarang operasi yang dilakukan pihak berkuasa di perairan negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Halimah berkaitan tindakan terhadap pemberi maklumat dalam kalangan nelayan terhadap vesel asing.
Salahuddin kemudian membentangkan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, bagi bacaan kali pertama selepas sesi soal jawab lisan itu. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!