Moorthy terus didesak letak jawatan
IPOH - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy terus didesak meletakkan jawatan.
Dalam Himpunan #KeadilanBuatAdib yang berlangsung di Padang Ipoh, di sini, beberapa penceramah meminta supaya Waytha Moorthy dikenakan tindakan.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu bertanggungjawab kerana melantik Pengerusi Hindraf itu sebagai anggota kabinet.
"Kita mahu Waytha Moorty meletak jawatan atau perdana menteri memecat beliau kerana menjadi punca terhadap isu ini.
"Jika sebarang tindakan gagal dibuat terhadap isu ini, maka perdana menteri sendiri perlu berundur," katanya ketika berucap pada himpunan tersebut di sini, hari ini.
Menurutnya, masyarakat Melayu Islam akan terus bersatu mendesak supaya mereka yang bertanggungjawab terhadap anggota bomba yang terkorban, Muhammad Adib Mohd Kassim diberikan pembelaan sewajarnya.
Sementara itu, bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman yang turut berucap pada himpunan tersebut berkata, bukan sahaja individu yang membunuh Muhammad Adib perlu ditangkap tetapi penghasut juga perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Rakyat akan bangkit untuk menegakkan keadilan dan berharap kerajaan tidak menyembunyikan sebarang hasil laporan siasatan terhadap insiden itu,” katanya.
Dalam pad itu, program yang bermula kira-kira jam 2 petang itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Kira-kira 100 orang hadir memberikan sokongan serta mendengar ucapan beberapa pemimpin yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!