Pengundi 18: Pembangkang akan sokong tetapi bersyarat
KUALA LUMPUR - Blok pembangkang menyokong cadangan untuk menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 namun ianya bersyarat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil mengemukakan cadangan supaya kerajaan meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pemilih.
Tidak itu sahaja, malah pada usia 18 tahun itu juga sekali gus layak menjadi calon pilihan raya.
Cadangan yang merupakan syarat jika mahu usul penurunan had umur itu disokong blok pembangkang ketika dibentangkan esok (4 Julai) di Dewan Rakyat.
“Kita akan sokong usul kerajaan ini, tetapi kita juga mahu kerajaan meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Selaras dengan itu juga, pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga turut diturunkan kepada umur 18 tahun,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pembangkang juga akan membentangkan usul persendirian berhubung cadangan ini dalam tempoh terdekat.
“Kita tak akan sokong kalau tak sama dengan syarat yang diberikan ini, maksudnya masuk saja umur 18 tahun, automatik berdaftar sebagai pemilih di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sekali gus layak jadi calon pilihan raya,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, isu utama ialah hampir empat juta pemilih yang layak mengundi tetapi tidak berdaftar dengan SPR.
“Kerajaan kena selesaikan masalah ini dulu, cara nak selesaikan ialah daftar secara automatik. Kalau daftar secara automatik selesai isu empat juta pemilih, jika umur 18 tahun tak daftar automatik maknanya kita tambah lagi masalah mereka tak daftar sebagai pengundi... tak tercapai maksud, ini cara untuk tingkatkan kesedaran politik dalam kalangan rakyat.
“Kerajaan tak perlu buat dua tiga kali pindaan... benda boleh selesai sekali, buat sekali sudah, harap sidang media ini mungkin kerajaan beri perhatian, kami yakin kalau buat usul nak usul lulus, kalau nak usul lulus, kena ambil perhatian juga pandangan pembangkang.
"Kita sokong... kita tak tentang 18 tahun tapi lebih bermakna kalau daftar automatik,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Usul turunkan had umur mengundi dibawa ke Parlimen
Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
Usul itu, yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), yang kini menerajui negara, dijangka dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah ia dipersetujui secara sebulat suara oleh Kabinet pada September lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!