Penyelam lemas di Pulau Tenggol
DUNGUN - Keseronokan sekumpulan empat penyelam bersama jurulatih menyelam mereka melakukan aktiviti selaman berakhir tragedi apabila salah seorang penyelam berkenaan dijumpai lemas dalam kejadian di perairan Pulau Tenggol, di sini, kira-kira jam 10.23 pagi, hari ini.
Mayat mangsa, Tan Gue Kwang, 54, yang masih lengkap memakai peralatan menyelam termasuk 'underwater camera' ditemui kira-kira jam 1.20 tengah hari dalam jarak lebih kurang 50 meter dari lokasi mangsa didapati hilang.
Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan yang berasal dari Bandar Kinrara, Kuala Lumpur ditemui pada kedalaman 18 meter oleh seorang petugas resort pulau itu selepas usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejurus didapati hilang.
Jurulatih menyelam mangsa, Muhammad Aqif Ibrahim, 24, berkata, mangsa didapati hilang selepas naik ke permukaan air semasa mereka berhenti seketika di kawasan perairan Tanjung Gemuk, Pulau Tenggol untuk melakukan pemeriksaan keselamatan.
"Semasa pemeriksaan keselamatan itu, mangsa tiba-tiba naik ke permukaan air manakala tiga lagi rakannnya masih di dalam air.
"Lepas lakukan pemeriksan keselamatan ke atas tiga rakan mangsa, saya naik ke atas tetapi apabila tanya pemandu bot, pemandu bot cakap mangsa dah hilang," katanya.
Katanya, mereka keluar melakukan aktiviti menyelam itu kira-kira jam 9.45 pagi dan mangsa sudah berada di pulau berkenaan selama tiga hari dengan ditemani isteri dan anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, polis menerima panggilan telefon dari orang awam berhubung kes berkenaan kira-kira jam 12.15 tengah hari.
Katanya, mayat mangsa tiba di Jeti Rajawali, Kampung Seberang Pintasan kira-kira jam 2.44 petang sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!