Budak hilang tiada unsur culik: Polis

Siti Ruziana gembira apabila anaknya berjaya diketemukan semula hari ini.
Siti Ruziana gembira apabila anaknya berjaya diketemukan semula hari ini.
A
A
A

KUALA BESUT - Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, Muhammad Saiful Aiman Mohammad yang dilaporkan hilang dua hari lepas selamat sampai dari Selatan Thailand di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini kira-kira jam 3.40 petang ini.

Kanak-kanak berusia 9 itu disahkan berada di Sungai Pisang, Patani, Selatan, Thailand malam semalam sebelum usaha membawanya pulang dilakukan oleh pihak polis dengan kerjasama ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman dan pihak sekolah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, Muhammad Saiful Aiman diserahkan kepada pegawai polis IPD Besut di sempadan Thailand – Malaysia dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan jam 12.20 tengahari tadi.

Menurutnya, kehilangan kanak-kanak itu terjawab apabila didapati kanak-kanak itu telah mengikut seorang wanita warganegara Thaliand dikenali Mok Teh ke negara jiran pada Isnin lepas.

“Siasatan awal kita mendapati kes ini bukan unsur culik sebaliknya wanita berusia lingkungan 60an itu mempelawa kanak-kanak itu mengikutnya pulang ke kampung halamannya di Selatan Thailand.

“Kanak-kanak itu mengenali Mak Teh yang bekerja mengambil ubah menyapu rumah penduduk sekitar Kampung Gertak Seratus dan Kuala Besut,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, pemeriksaan awal mendapat Muhammad Saiful Aiman yang masih memakai pakaian sama yang dipakai dua hari lepas tidak mengalami kecederaan dan kemurungan ekoran kejadian ini.

Menurutnya, bagaimanapun dia akan dihantar ke Hospital Besut untuk pemeriksaan lanjut dan setakat ini kes dianggap selesai.

Artikel Berkaitan:

Siti Ruziana apabila anaknya berjaya diketemukan semula hari ini.
Siti Ruziana apabila anaknya berjaya diketemukan semula hari ini.

Sementara menurut Muhammad Saiful Aiman, pada awalnya dia hanya mengusik wanita tersebut yang dipanggilnya Mak Su untuk ikut bersama ke mana Mak Teh pergi.

Tambahnya, Mak Teh kemudian mengajak dia ikut bersama sebelum mereka menaiki bas sehinggalah ke Pangkalan Kubur kemudian menaiki perahu menyeberangi sungai untuk memasuki Thailand.

“Saya naik kereta ke Kampung Pisang bersama Mak Su dan tinggal rumah anak Mak Su dan apabila sampai sana, saya beritahu dia nak balik esok (semalam) tapi dia kata tak payah balik lagi sebab Mak Su lambat lagi nak balik,” katanya yang agak rapat dengan Mak Teh sebelum ini.

Manakala ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Ruziana Sidek, 35, berkata, dia sekadar mengenali Mak Teh namun tidak rapat malah tidak mengetahui selama ini anaknya rapat dengan warga emas itu.

“Saya sangat gembira apabila anak saya telah ditemui semula dan berada di samping saya sekarang memandangkan sebelum ini saya sangat risau termasuk menyangka dia diculik malah memikirkan perkara lebih buruk berlaku terhadap anaknya itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus berusaha untuk membawa anak saya pulang iaitu pihak polis, Tengku Zaihan dan guru besar sekolah anak saya, Zamri Mohd Noor,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak hilang di Kuala-Besut ditemui sempadan Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!