Kenapa hanya pemimpin Umno yang didakwa SPRM?
SHAH ALAM - Umno mempersoalkan mengapa hanya pemimpin di kalangan mereka sahaja yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun pemimpin dari parti komponen BN lain seperti MIC dan MCA terlepas daripada siasatan suruhanjaya itu.
Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, adakah SPRM telah berlaku tidak adil dalam penyiasatan mereka.
“SPRM ini adil ke tidak? hairan juga kenapa bekas Menteri dan pemimpin dari MCA, MIC dan Gerakan seorang pun tidak didakwa.
“Mana mungkin satu tuduhan pun tidak boleh direka untuk mendakwa pemimpin parti berkenaan. Kenapa (pemimpin) Umno sahaja (yang didakwa)?.
“Berbelas dan berpuluh tuduhan direka untuk mendakwa pemimpin Umno,” katanya melalui perkongsiannya di akaun Facebooknya.
Mohd Puad berkata, bukannya sukar untuk kerajaan PH melakukan pendakwaan ke atas pemimpin MIC dan MCA seperti mana yang dilakukan ke atas pemimpin Umno.
“Lagi pun bukan payah sangat. Dakwa dulu, siasat kemudian. Jawapannya mudah. Tun M (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) yang suruh.
“Tun M hanya mahu memusnahkan Umno dan minta mereka menyertai Bersatu untuk menyelamatkan Bersatu.
“Pada dia MCA, MIC dan Gerakan bukan ancaman. Ahli Parlimen ketiga tiga parti itu tinggal seorang dua sahaja. Dan bukan boleh dibawa masuk ke dalam Bersatu pun,” katanya.
Mohd Puad menambah, mungkin pada Dr Mahathir ketiga-tiga parti komponen BN itu akan lenyap sendiri tidak lama lagi.
“Tetapi Umno mengancam beliau. Beliau geram kerana ahli akar umbi Umno tidak goyang. Pada beliau MCA, MIC dan Gerakan no hal punya (tidak mendatangkan masalah).
“Justeru beliau akan kejar Umno sampai ke lubang cacing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!