Syarikat pembinaan rugi RM231,900 pejabat dipecah masuk
KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat pembinaan di Taman Miharja di sini, mengalami kerugian mencecah RM231,900 apabila ruang pejabatnya dipecah masuk dua lelaki, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada seorang wanita berusia 45 tahun yang merupakan pekerja syarikat berkenaan.
“Polis menerima laporan kes ini pada jam 7.30 pagi semalam selepas wanita itu naik ke tingkat dua premis berkenaan dan mendapati cermin pintu pejabat pecah manakala pejabat dalam keadaan berselerak.
"Hasil siasatan awal, polis percaya suspek memecah masuk melalui siling di tingkat tiga bangunan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rusdi menambah, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup mendapati dua lelaki bertopeng melakukan kegiatan itu.
"Anggaran nilai kerugian syarikat itu merangkumi kehilangan wang tunai, jam tangan serta minuman keras bernilai RM231,900.
"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!