Pintu pagar berkunci, wanita bersalin di terminal bot
SARIKEI - Seorang wanita berusia 22 tahun terpaksa melahirkan anak di Terminal II Bot Ekspres di Jalan Wharf di sini malam tadi, apabila pintu pagar utama terminal tersebut telah dikunci.
Sebelum itu wanita dari kawasan Bukit Kinyau dekat Tanjung Manis tersebut yang sudah hampir hendak bersalin tiba di jeti terminal itu menggunakan perahu yang dikemudikan oleh suaminya kira-kira 11.50 malam.
Mereka yang telah mengharungi perjalanan sejauh lebih kurang 22km menyusuri Sungai Rajang itu dalam perjalanan hendak ke Hospital Sarikei untuk bersalin.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Sarikei untuk mendapatkan bantuan.
“Seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.56 malam.
“Apabila tiba kami terus memotong mangga pagar terminal untuk menyelamatkan wanita terbabit. Operasi itu dijalankan dalam tempoh seminit,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin ketika dihubungi.
Menurut beliau, wanita tersebut selamat bersalin di atas kerusi terminal itu dengan bantuan suaminya.
Ibu dan bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sarikei dengan ambulans oleh pasukan perubatan untuk rawatan susulan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!