Rumah terbuka pertemuan terakhir

Ahli keluarga dan saudara-mara memenuhi ruang unit forensik Hospital Tanjong Karang di sini.
Ahli keluarga dan saudara-mara memenuhi ruang unit forensik Hospital Tanjong Karang di sini.
A
A
A

TANJONG KARANG - "Minggu lepas kami sekeluarga baharu saja mengadakan rumah terbuka, tak sangka kegembiraan itu bertukar sekelip mata apabila insan kami sayangi pergi buat selamanya," demikian kata Mohd Hafiz Ahmad, 27.

Mohd Hafiz merupakan anak kepada pasangan Ahmad Awang, 56, dan Hayati Mohd Zain, 57, yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa di KM55 Jalan Klang - Teluk Intan berhampiran Sungai Terap, Tanjong Karang di sini petang tadi.

Turut terkorban Khmisah Saleh, 77, dan Norriyah Mohd Zain, 61, masing-masing ibu serta kakak kepada Hayati.

Mohd Hafiz berkata, arwah ibu dan bapanya kelihatan gembira meraikan saudara-mara yang berkunjung ke rumah pada majlis rumah terbuka itu.

"Majlis rumah terbuka ini menjadi pertemuan terakhir arwah mak dan ayah bertemu saudara-mara mereka," katanya.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia mengetahui tentang kemalangan maut itu daripada abangnya, Mohd Firdaus Ahmad, 30, kira-kira jam 2 petang.

"Nenek tinggal bersama kami setiap kali Aidilfitri dan semua dalam perjalanan menghantar nenek ke rumahnya di Tiram Jaya, Tanjong Karang," katanya.

Ujarnya, kali terakhir dia bertemu arwah ibu dan bapanya itu beberapa jam sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Mak dan ayah tak tunjuk apa apa perubahan, cuma saya tak sempat bersalam dengan mereka sebab nak bergegas ke tempat kerja," katanya.

Sementara itu, jiran keluarga terbabit, Mohd Romadzan Mohd Zain, 30, berkata, dia menyifatkan kedua pasangan terbabit sebagai insan berhati mulia.

Katanya, dia berjiran selama 30 tahun dengan kedua-dua arwah yang amat menyayangi kucing.

"Mereka sediakan bekas makanan dan ambil empat kucing terbuang.

"Arwah juga seorang bukan pemarah, suka berlapang dada dan kalau keluar ke mana-mana, suami dan isteri tak pernah berenggang," katanya.

Jenazah Ahmad, Norriyah dan Hayati dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Setengah, Meru manakala Khmisah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gulang-Gulang selepas selesai bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut kereta masuk parit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!