Pengundi 18 tahun: Selesaikan aspek teknikal dulu

Fadhli
Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun merupakan langkah yang baik namun ia perlu dilaksanakan dengan menyelesaikan beberapa aspek teknikal tertentu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat, cadangan tersebut harus diperhalusi terlebih dahulu namun Pas tiada masalah untuk menerimanya.

“Apa yang kita tuntut ialah ia dilaksanakan bersama dengan pendaftaran automatik yang juga dijanjikan oleh Pakatan Harapan di dalam manifesto.

“Kebaikannya ialah mengangkat martabat orang muda yang sebenarnya telah dapat membuat pilihan untuk menentukan masa depan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Begitupun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu tetap melahirkan kebimbangannya memandangkan golongan muda berusia 18 tahun lebih mudah untuk dimanipulasi.

“Bagaimanapun golongan ini mudah terdedah kepada bahaya manipulasi di mana umur 18 tahun masih belum lagi memikul beban tanggungjawab mencari rezeki dan berkeluarga mengikut kebiasaan negara ini.

“Justeru, golongan seperti ini agak mudah untuk dimanipulasi oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu,” ujarnya.

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Ketika membentangkan RUU itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pindaan pada akta berkenaan mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia.

“Dewasa ini pertubuhan pergerakan belia sedia ada dilihat semakin lesu dan tidak lagi menjadi medium penting perhubungan belia dengan jumlah keahlian yang semakin berkurangan.

“Kelesuan pergerakan belia ini didasari dua faktor utama iaitu kegagalan mengadaptasi perubahan dalam corak gaya hidup dan pemikiran belia masa kini serta kurangnya pimpinan pelapis yang boleh menggantikan pemimpin belia sedia ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!