Lelaki maut dihempap besi satu tan
SITIAWAN - Seorang lelaki maut selepas dihempap besi seberat satu tan di sebuah pelantar syarikat memproses minyak dan gas di Kampung Acheh, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, ketika kejadian, mangsa berumur 29 tahun itu sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan besi pelantar di situ.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian di sana pada jam 3.57 petang dan terus ke lokasi berkenaan.
"Kita telah ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah dihempap besi dianggarkan seberat satu tan semasa menjalankan pemasangan besi pelantar yang dipanggil 'jacket'.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian separuh badan hingga kepala dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Muhammad Hanif berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk menjalani proses bedah siasat.
Sementara itu, menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!