Warga emas meninggal dunia ketika tonton filem seram
PATTAYA - Seorang warga emas rakyat Britain meninggal dunia dalam sebuah panggung wayang ketika menonton filem seram.
Pelancong berusia 77 tahun yang sedang bercuti di Pattaya itu dilaporkan menonton filem Annabelle Comes Home malam semalam.
Sejurus tayangan tamat dan lampu dinyalakan, seorang penonton yang duduk di sebelah pesara terbabit menyedari mangsa telah meninggal dunia.
Penonton wanita yang terkejut itu menjerit memanggil pekerja panggung wayang yang kemudian menelefon perkhidmatan kecemasan pada jam 8 malam (waktu tempatan).
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke hospital.
Menurut Monthira Phengrat yang tiba di panggung wayang itu selepas insiden berlaku, ramai pengunjung terkejut dengan apa yang terjadi.
"Pekerja panggung wayang berasa bimbang dan cuba menghalang orang ramai daripada melihat apa yang berlaku.
"Kami dilarang mengambil gambar," kata Monthira.
Polis berkata, mayat mangsa dibawa ke sebuah hospital di daerah Banglamung di mana bedah siasat akan dijalankan.
"Polis dimaklumkan tentang kematian pada jam 8 malam dalam sebuah panggung wayang di sebuah pusat beli-belah," kata Leftenan Kolonel Polpattham Thammacat sambil menambah pihaknya tidak mencari suspek berhubung kematian itu. - Dailymail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!