UMNO jangan berjangkit wabak PH
KOTA BHARU – Ahli-ahli UMNO dinasihatkan untuk sentiasa menjaga hubungan antara satu sama lain supaya tidak berjangkit dengan wabak penyakit perpecahan yang semakin melanda gabungan parti Pakatan Harapan (PH).
Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, biarkan sahaja PH dengan isu mereka sehingga dilihat semakin lalai untuk membela rakyat setelah menerima mandat baru-baru ini.
“Kita fokus hanya kepada nasib rakyat yang telah menyesal memilih dalam PRU lalu. Ramai yang iri hati melihat perpaduan UMNO-Pas yang menuju realiti.
“Ternyata, perpaduan sebegini mendapat keberkatan dan memperlihatkan penyatuan ummah yang diimpikan oleh rakyat Malaysia. Usah biarkan hasad dengki musuh memecahbelahkan perpaduan dalaman UMNO sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebagaimana saranan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO mampu bangkit kembali jika kepentingan parti diletakkan di hadapan, melebihi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, malah kembalinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui parti sememangnya bukanlah suatu yang luar biasa lebih-lebih lagi beliau merupakan Presiden parti yang dipilih melalui pemilihan yang sah.
“Seharusnya ia dilihat sebagai kekuatan kepada parti melalui gandingan tokoh hebat daripada presiden, timbalan presiden, ketua pemuda, setiausaha agung serta ramai pasukan yang sedia kekal istiqamah dalam parti sejak setahun parti ini tidak lagi menjadi kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!