Ghairah jaja cerita dalam kain sendiri di laman sosial
SEJAK zaman sekolah Merak Jalanan memang kerap menulis diari. Pelbagai perkara dicoretkan dalam catatan harian diari Merak Jalanan.
Ada cerita aktiviti harian dan tak kurang juga luahan rasa suka duka. Kalau bab ratapan jiwa dimarahi ayah bonda atau dirotan guru, panjang lebar juga isi karangan hari itu.
Begitu juga, kisah-kisah cinta zaman remaja. Tetapi yang pasti, segala isi diari disimpan rapi menjadi satu rahsia.
Jenuh memikir lokasi rahsia untuk menyembunyikan diari tersebut agar tidak boleh dibaca oleh sesiapa. Malah ada diari yang disertakan mangga kecil.
Tapi itu cerita zaman gen X. Hari ini, dunia teknologi mengubah banyak perkara termasuklah cara kita menulis aktiviti harian dan mencoret kisah suka duka.
Hari ini majoriti kita menjadikan media sosial Facebook, Instagram atau Twitter yang konsepnya hampir sama seperti coretan diari zaman dulu-dulu.
Tapi bezanya, segala perkara yang ditulis turut dibaca oleh rakan-rakan atau pengikut media sosial.
Yang menjadi kebimbangan Merak Kayangan adalah trend ramai masyarakat kita hari ini yang sudah hilang rasa malu tanpa segan silu melondehkan segala cerita di mata pengikut alam maya.
Segala benda terutamanya kisah rumah tangga habis dijaja dengan penuh ghairah di laman sosial.
Kisah gaduh dengan kekasih masuk Facebook, kisah isteri kuat bebel masuk Facebook malah lagi ‘seronok’ kisah suami curang ada wanita lain mesti masuk Facebook.
Malah sudah jadi trend baik artis atau orang biasa, semua kejadian contohnya operasi menyerbu suami di pusat karaoke dengan wanita lain mesti divideokan dan disiarkan pula untuk tontonan ramai.
Kepada Merak Jalanan, dalam dunia teknologi 4G nak masuk ke 5G memang tak salah kita mahu berkongsi suka duka.
Tapi cerita aib sehingga memalitkan arang di muka kita sendiri, pasangan atau keluarga eloklah disimpan sebagai kisah peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!