Perlukah turun had umur mengundi

A
A
A

HARI ini Dewan Rakyat akan mendengar pembentangan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had minimum umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Kalau ini berlaku, maka Malaysia akan menjadikan Singapura negara tunggal di rantau ini yang masih mengekalkan 21 tahun sebagai umur minimum layak mengundi. Ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di Asia Tenggara yang masih mengekalkan umur layak mengundi sedemikian.

Idea ini sudah lama dicadangkan. Baik parti politik, kumpulan pendesak dan pertubuhan belia sudah berkali-kali menuntut perubahan itu. Namun begitu, baru hari inilah barangkali ia akan direalisasikan. Secara peribadi perubahan ini tepat dan baik untuk perjalanan demokrasi negara.

Kalau individu berumur 18 tahun telah dibenarkan memiliki lesen memandu apatah lagi sudah boleh dibicarakan di mahkamah sebagai orang dewasa, maka tidak timbul persoalan hubungkait antara umur dan kematangan fikiran.

Cuma sebagai pemerhati politik, terdapat beberapa persoalan utama yang bermain dalam kotak pemikiran penulis. Pertama apakah kita bersedia dengan perubahan ini dan kedua, sejauh mana perubahan ini mampu meningkatkan demokrasi dan pendemokrasian di Malaysia? Sengaja penulisan ini tidak menyentuh kaitan umur dan kematangan kerana ianya terlalu subjektif untuk dibincangkan.

Faktor demografi, pendidikan, pengalaman dan pergaulan juga menyumbang kepada proses kematangan berfikir dan membuat keputusan seseorang individu. Sebab itu dua persoalan yang diutarakan penulis lebih penting untuk dibincangkan.

Bersedia atau tidak?

Kalau diperhatikan, bersedia atau tidak mungkin boleh dilihat dari dua aspek berbeza; institusi dan sistem. Ini adalah kerana menurunkan umur layak mengundi sahaja tidak akan menjadikan demokrasi di Malaysia lebih baik kalau dua perkara itu belum beres. Jadi adakah menurunkan umur layak mengundi itu tidak perlu dilakukan sekarang? Sudah tentulah tidak kerana ia masih perlu dibuat namun harus seiring perubahan kondusif yang menyokongnya.

Sebabnya, menurunkan umur layak mengundi sahaja masih belum cukup kalau institusi dan sistem politik negara tidak ditambah baik. Sebagai contoh, bagaimana kita mampu berbicara tentang menurunkan had umur mengundi kalau institusi seperti sekolah, universiti atau institusi pengajian tinggi masih tidak kondusif kepada hak-hak berpolitik secara sivil.

Mampukah penurunan umur mengundi itu memangkin sosialisasi dan partisipasi politik kalau kegiatan seperti berpersatuan, berhimpun, bersuara atau menyertai aktiviti malah parti politik masih dikawal ketat oleh pihak-pihak tertentu terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Itu belum lagi kita mempersoalkan kewujudan halangan lain dari sudut perundangan menerusi akta-akta yang bersifat autoritarian dan mengekang demokrasi yang masih ada dalam sistem undang-undang negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama juga, pendidikan dan pendedahan politik dalam konteks mata pelajaran atau kursus yang ditawarkan sangat sedikit dan terhad, baik di peringkat sekolah mahupun universiti untuk membantu proses perubahan dan pendemokrasian yang ada.

Mungkin juga ada benarnya cakap-cakap belakang yang berkata, kita tidak bersedia untuk menurunkan had umur layak mengundi.

Malah, kalau kita masih kekal dengan umur sedia ada, demokrasi di Malaysia masih lagi yang terbaik dan paling tinggi di antara negara-negara Asia Tenggara.

Kalau Indeks Demokrasi Dunia 2018 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (The EIU), Malaysia menduduki tangga ke-52 berbanding negara-negara Asia Tenggara lain yang umur mengundinya jauh lebih muda daripada kita seperti Filipina (53), Indonesia (65) dan Thailand (106). Singapura yang serupa dengan kita pun masih berada di kedudukan ke-66, tidaklah jauh sangat bezanya.

Yang jelas, walaupun hak mengundi dan pilihan raya adalah angkubah asas dalam menentukan sesebuah negara itu demokratik atau tidak, ianya masih belum cukup. Perkara paling penting dalam aspek ini ialah sejauh mana sesebuah negara itu berusaha untuk melindungi dan mengupayakan hak berpolitik warganya dan dalam masa yang sama, secara tetap dan konsisten menyokong sebarang usaha untuk menambah baik perjalanan demokrasi dan proses pendemokrasian yang sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!