Scam: Bekas akauntan, jurutera ditipu
KUANTAN - Bekas akauntan dan seorang jurutera masing-masing kerugian RM10,000 dan RM1,130 dan selepas diperdaya sindiket penipuan menggunakan modus operandi menyamar polis dan iklan jualan barangan tidak wujud.
Kedua-dua mangsa berusia 73 dan 33 tahun dari daerah ini tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama melibatkan bekas akauntan, warga emas berusia 73 tahun yang kerugian RM10,000 selepas diperdaya anggota sendiket penipuan menyamar sebagai pegawai polis.
Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari Kuala Lumpur memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila nombor kad pengenalannya digunakan untuk membuka akaun bank bagi tujuan tersebut.
“Sindiket mengertak mangsa dengan mengatakan waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan dan akaun milik pengadu dibekukan.
“Rentetan itu, pada 2 Julai lalu, mangsa dhubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat inspektor juga dari Kuala Lumpur mengarahkannya membayar sejumlah wang bagi membantu menyelesaikan kes itu,” katanya.
Mohd Wazir berkata, bimbang berdepan tindakan undang-undang mangsa akur dengan arahan pegawai tersebut apabila membuat bayaran RM10,000 melalaui akaun sebuah bank atas nama seorang lelaki pada hari yang sama.
“Mangsa mula curiga apabila suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan lalu membuat laporan polis semalam kerana syak ditipu,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang jurutera berputih mata apabila terbeli alat permainan video tidak wujud yang diiklankan melalui sebuah laman sesawang.
Mohd Wazir berkata, mangsa tertarik dengan iklan itu selepas melayari laman sesawang berkenaan 22 Jun lalu lalu menghubungi ‘penjual’ mengunakan nombor telefon yang tertera pada iklan tersebut.
“Selepas berurusan, mangsa bersetuju membeli alat permainan itu yang ditawarkan pada harga diskaun RM1,130 dan membuat bayaran penuh melalui transaksi atas talian pada hari berikutnya.
“Suspek berjanji akan membuat penghantaran dengan segera selepas bayaran dijelaskan bagaimanapun sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima barangan yang dibeli itu malah si penjualnya juga gagal untuk dihubungi,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua kes tersebut dibuka kertas siasatan dan disiasat mengikut Seskyen 420 kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!