Pelancong ceroboh taman petik semua bunga teratai
BEIJING - Perbuatan keji ratusan pelancong yang menceroboh masuk ke Taman Kebudayaan dan Ekologi Longqiao di Sichuan, China untuk memetik bunga-bunga teratai menyebabkan taman tersebut terpaksa ditutup hingga hujung tahun ini.
Memetik laporan China Morning Post, taman eko itu yang mempunyai keluasan kira-kira 250,00 meter persegi terkenal dengan keindahan pemandangan tasik dan bunga teratai.
Taman tersebut sebelum ini ditutup sejak Mac untuk pembinaan saluran air dan dijangka dibuka dalam masa terdekat.
Bagaimanapun menurut pengurus taman,perbuatan beratus-ratus pelancong China yang memasuki taman untuk mengambil bunga sejak musim bunga bermula bulan Jun menyebabkan operasi taman itu terpaksa ditutup sehingga hujung tahun.
Katanya, pihak taman melihat tiada sebab untuk mereka membuka operasi kepada pelancong tahun ini kerana semua bunga-bunga teratai sudah habis dipetik oleh individu tidak bertanggungjawab.
"Kami tidak dapat mengawal pelancong. Kami hanya dapat menjamin kami telah melakukan tugas kami dengan baik.
“Kami telah meletakkan nota amaran kepada pelancong di depan pintu masuk dan taman bunga, malah kami mempunyai pengawal keselamatan,” kata seorang kakitangan yang mahu dikenali sebagai Zhou.
Dianggarkan sekitar 200 hingga 300 orang menceroboh masuk ke taman itu setiap hari dengan memanjat pagar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!