Bekas banduan miliki 19 rekod lampau ditahan simpan pistol
KOTA BHARU – Seorang bekas banduan yang memiliki 19 rekod lampau termasuk kesalahan cubaan membunuh di tahan polis bersama sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Telipot di sini, dua minggu lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek berusia 42 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 6 petang, 16 Jun lalu.
“Kami menerima maklumat daripada orang awam berhubung seorang lelaki yang menyimpan senjata api di sebuah rumah dua tingkat yang disewa suspek dan mengarahkan anggota untuk melakukan serbuan.
“Ketika diserbu suspek berada di dalam rumah dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan di bahagian tingkat atas rumah berkenaan menemui satu beg silang di dalamnya mengandungi pistol jenis Comet Automatik bersama 16 butir peluru hidup dan satu kelongsong,” katanya pada sidang akhbar di IPD di sini, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal suspek membeli senjata api berkenaan dengan harga RM2,500 dari seorang individu di negara jiran dan pemilikannya bermotifkan sebagai persediaan melindungi dirinya daripada musuh.
“Suspek adalah bekas banduan yang mempunyai 19 rekod lampau iaitu 13 rekod membabitkan dadah manakala enam lagi rekod membabitkan kesalahan curi, curi kenderaan, pecah rumah dan cubaan membunuh.
“Berdasarkan keterangan suspek senjata api tersebut dipercayai sebagai persediaan untuknya menghadapi musuh-musuhnya,” katanya.
Sehubungan itu katanya, suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta akan dituduh dalam waktu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!