Penyelarasan undang-undang syariah hujung tahun hadapan: Mujahid

Mujahid - Foto Bernama
Mujahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyeragaman dan penyelarasan undang-undang jenayah syariah di seluruh negara dijangka dapat direalisasikan hujung tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, usaha atau roadmap untuk mencapai hasrat itu sudah mencapai kemajuan 40 peratus.

“Kami dalam proses untuk menyeragamkan enakmen jenayah syariah di seluruh negara sebab hari ini, semua maklum kesalahan sama (tetapi) hukuman berbeza berlaku di negeri-negeri yang berbeza. Ini tidak baik untuk menunjukkan keadilan dalam Islam,” katanya selepas menghadiri Hari Terbuka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), di sini hari ini,.

Sehubungan itu, katanya JKSM dan bahagian undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diminta untuk melakukan satu penyelarasan dan keseragaman dengan menjadikan Akta Wilayah Persekutuan sebagai model.

Mujahid berkata Majlis Raja-Raja secara asasnya bersetuju dengan langkah JKSM untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah di negara ini.

Mujahid berkata beliau akan bertemu dengan exco-exco negeri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama untuk membincangkan perkara itu.

“Kami juga tengok enakmen-enakmen negeri-negeri yang kalau kami nampak ia terbaik, kami akan ambil tetapi akhirnya semua adalah sama dan selaras,” katanya.

Mujahid juga berkata kajian tentang penghukuman di bawah undang-undang jenayah syariah sedang dilakukan agar kaedah hukuman lebih bersifat rehabilitatif (memulih).

Artikel Berkaitan:

“Hari ini (hukuman) bersifat punitif bermakna hakim-hakim nak buat keputusan dia tiada pilihan sebab rotan, penjara itu sahaja (pilihan) dia ada. Kalau dia ambil (pendekatan) untuk bebaskan dengan bon berkelakuan baik, (itu) tiada (dalam) peruntukan.

“Oleh kerana falsafah bukan untuk hanya hukum orang...hakim-hakim syarie boleh menggunakan (hukuman bersifat) rehabilitatif seperti bon kelakuan baik, khidmat masyarakat,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!